Jangan asyik tuding jari ikut emosi tanpa fikir guna otak – TMJ

Jangan asyik tuding jari ikut emosi tanpa fikir guna otak – TMJ


PEMILIK Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menegur segelintir pihak yang gemar memberikan kritikan melulu tanpa melihat kepada gambaran besar serta pencapaian kelab itu musim ini.

Dalam satu hantaran dikongsikan di laman sosial rasminya, baginda mengingatkan penyokong agar tidak mudah menuding jari mengikut emosi semata-mata, sebaliknya perlu menggunakan pertimbangan yang rasional.

Tunku Mahkota Ismail menegaskan, di sebalik pelbagai krisis yang melanda sepanjang musim ini termasuk kecederaan Arif Aiman Hanapi serta penggantungan tiga pemain penting, JDT tetap membuktikan dominasi mereka sebagai kuasa besar bola sepak negara.

“Tahun ini kita dilanda krisis. Namun, pasukan kita berjaya muncul juara liga tanpa kalah, mencatat jaringan tertinggi dalam sejarah Liga Super, serta menjuarai Piala FA.

“Kita juga berjaya mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Elit(ACLE) yang meletakkan JDT dalam kelompok lapan pasukan terbaik Asia, selain melangkah ke final Piala Malaysia dan separuh akhir Piala Shopee. JDT turut menyamai rekod dunia bagi kemenangan terbanyak tanpa kalah dalam liga,” titah baginda.

Menurut baginda, kejayaan tersebut dicapai dengan pasukan yang dalam proses transisi, dibarisi pemain baharu serta dalam keadaan pasukan sedang bergelut dengan krisis.

“Jadi, bersyukur dengan pencapaian luar biasa ini. Jangan asyik senang tuding jari ikut emosi tanpa fikir menggunakan otak. Kecewa dengan kekalahan itu perkara biasa, kalah menang adalah adat, tetapi jangan terlepas pandang gambaran yang lebih besar iaitu pencapaian yang hebat ini.

“JDT, kami bukan satu pasukan, kami adalah sebuah empayar, kami adalah gerakan. ALLAH berkati Johor dan keluarga besar JDT,” titah baginda.



Source link

OR

Scroll to Top