Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak sesekali terlibat dengan amalan rasuah atau meletakkan kepentingan diri melebihi kepentingan negara.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah setiap pegawai yang memulakan kerjaya dalam ATM perlu memimpin dengan bijaksana, adil serta menjadi contoh terbaik kepada anggota bawahan.
“Saudara dan saudari akan memulakan kerjaya sebagai seorang pegawai tentera yang menuntut kekuatan fizikal, akal fikiran, disiplin dan pengorbanan yang tinggi. Ingat, tiada anggota tentera yang buruk, yang ada hanyalah pemimpin yang tidak baik.
“Awak semua adalah tonggak Angkatan Masa Hadapan. Oleh itu, jangan sekali-kali makan rasuah, malas bekerja atau meletakkan kepentingan diri sendiri lebih tinggi daripada kepentingan tanah air,” titah baginda.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet ATM Tahun 2026 di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.
Dalam titahnya, baginda turut menegaskan kerajaan perlu memberi keutamaan terhadap perolehan aset dan peralatan pertahanan berteknologi tinggi serta menyokong struktur baharu ATM bagi merealisasikan konsep Angkatan Masa Hadapan.

Baginda bertitah, angkatan yang bakal dibentuk itu perlu menjadi pasukan lebih bersepadu dan berupaya menghadapi peperangan generasi kelima, selaras perubahan landskap keselamatan global dan serantau yang semakin pantas.
“Sudah pasti setiap perubahan memerlukan anjakan yang radikal. Namun demikian, Angkatan Masa Hadapan adalah suatu keperluan strategik yang wajar dilaksanakan.
“Oleh itu, saya menyeru kepada kerajaan supaya memberi keutamaan dalam perolehan peralatan berteknologi tinggi dan menyokong struktur baru ATM,” titah baginda lagi.

Dalam istiadat berkenaan, seramai 566 Pegawai Kadet ATM terdiri daripada 466 lelaki dan 100 wanita ditauliahkan sebagai Leftenan Muda.
Daripada jumlah itu, 438 pegawai menyertai Tentera Darat Malaysia (373 lelaki, 65 wanita), 111 pegawai menyertai Tentera Udara Diraja Malaysia (97 lelaki, 14 wanita) manakala 117 lagi menyertai Tentera Laut Diraja Malaysia (96 lelaki, 21 wanita).

Keberangkatan KDYMM SPB YDPA ke Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM
Daripada keseluruhan pegawai ditauliahkan, 205 merupakan graduan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di peringkat Ijazah Sarjana Muda, manakala 361 lagi adalah lepasan ijazah dari universiti tempatan dan luar negara yang menjalani latihan di Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris I (KDSI I) dan Kolej Tentera Udara–Sekolah Latihan Pegawai (KTU-SLP).






