am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas 50 karton minuman keras dan 976,800 batang rokok putih seludup dianggarkan bernilai RM1.9 juta.
Rampasan itu dibuat di dua lokasi berasingan sempena Op Taring Gelora dan Op Taring Landai pada tengah malam Khamis serta semalam.
Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal berkata, dalam serbuan pertama di Tok Bali Pasir Pureh, dekat sini, pasukannya menyerbu sebuah vessel nelayan tempatan kelas C2 yang lesennya dipercayai sudah tamat tempoh dan tidak menjalankan aktiviti perikanan.
“Serbuan dijalankan pada jam 12.30 tengah malam Khamis lalu oleh anggota bot ronda yang sedang membuat rondaan berkala di kawasan itu.
“Pemeriksaan lanjut dalam vessel itu menemui 50 karton yang mengandungi 396 liter minuman keras yang dilarang pengimportannya dan dianggarkan bernilai RM1.5 juta termasuk cukai.
“Seorang lelaki yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia lingkungan 40-an mengaku sebagai penjaga tempat itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam serbuan kedua, Unit Risikan Marin (URM) mengesan sebuah lori dan kereta di Salor, Pasir Mas, dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak mengejar dua kenderaan itu sejauh 16 kilometer sehingga ke Ketereh, di sini.
Mohd Khairuddin berkata, kedua-dua kenderaan itu terbabas ke bahu jalan dan dua pemandunya terus melarikan diri tanpa dapat dikesan.
“Hasil pemeriksaan dalam dua kenderaan itu menemui 976,800 batang rokok putih yamg dilarang pengimportannya.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






