JDT mempamerkan peningkatan positif musim ini selepas berjaya mara ke pusingan suku akhir ACLE. Foto: JOHOR SOUTHERN TIGERS
KELAB Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan statusnya sebagai kuasa besar bola sepak apabila disenaraikan sebagai kelab ke-10 terbaik di Asia.
Berdasarkan kemas kini terbaharu menerusi laman statistik sukan antarabangsa, Opta Analyst, skuad Harimau Selatan itu bukan sahaja cemerlang di peringkat Asia malah kekal mendominasi carta sebagai kelab nombor satu di Asia Tenggara.
Menerusi kemas kini tersebut, JDT berjaya mengumpul keseluruhan 79.6 mata rating, sekali gus meletakkan mereka di kedudukan ke-269 dunia.
JDT juga merupakan satu-satunya wakil dari Malaysia dan Asia Tenggara yang berjaya menembusi kelompok 10 terbaik dalam senarai kelab elit Asia tersebut.
Pencapaian ini menyaksikan JDT berada dalam kelompok yang sama dengan gergasi Asia yang lain seperti Al-Hilal, Al-Nassr dan beberapa kelab utama dari Jepun serta Korea Selatan.
Malah, mereka turut mengatasi beberapa kelab gergasi Asia lain seperti Kawaski Frontale dan Al Ittihad.
Musim ini, JDT terus menunjukkan perkembangan positif terutama di pentas Asia apabila mencipta sejarah mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara Elite 2025/2026 (ACLE) sebelum tidak bernasib baik tewas 1-2 kepada Al Ahli.
Di peringkat domestik, Harimau Selatan mengekalkan belang mereka apabila menjuarai Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut, juara Piala FA empat kali berturut-turut dan berpeluang menambah koleksi Piala Malaysia apabila akan membuat perhitungan dengan Kuching City FC di pentas final pada bulan depan.





