Jerat Gaji USD1,000: Pemuda Johor Dipaksa Jadi Scammer, Diseksa di Kemboja

Jerat Gaji USD1,000: Pemuda Johor Dipaksa Jadi Scammer, Diseksa di Kemboja


Dijanjikan gaji lumayan sehingga AS$1,000 sebulan, kerja mudah hanya menghadap komputer dan dikatakan “halal” menjadi umpan sindiket untuk memancing anak muda keluar negara.

Hakikatnya, tawaran itu hanyalah jerat! Mangsa akhirnya dipaksa menjadi scammer di negara asing dalam keadaan dikawal ketat dan berdepan hukuman jika gagal mencapai sasaran.

Bagi Muhammad Hafiz, 21, dari Ayer Baloi, Pontian, Johor, semuanya bermula apabila dia terpengaruh menyertai kumpulan kongsi gelap di negeri itu sebelum ditawarkan bekerja di luar negara yang kononnya menjanjikan masa depan lebih baik.

Dia bersama tiga rakan sekampung akhirnya menyedari mereka sebenarnya terperangkap dalam sindiket penipuan selepas dibawa ke Kemboja dan dipaksa bekerja sebagai scammer sebelum melarikan diri.

“Kami berjalan kaki lebih dua kilometer sebelum jumpa kenderaan seperti teksi motosikal dan bayar tambang untuk dibawa ke sebuah perkampungan Islam.

“Dari situ, kami sampai ke sebuah surau dan terus hubungi ibu bapa sebelum diselamatkan,” katanya dalam sidang akhbar bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di ibu negara hari ini.

Kejadian itu berlaku pada pertengahan Ramadan lalu dan selepas hampir dua bulan berada di bawah kawalan sindiket, mereka akhirnya berjaya pulang ke tanah air kira-kira seminggu sebelum Aidilfitri.

Muhammad Hafiz berkata, dia dan rakan berusia antara 23 hingga 31 tahun sebelum itu direkrut individu dikenali sebagai ‘Mr A’, yang dikenalinya sejak Disember lalu sebagai ahli Kongsi gelap sebelum diperkenalkan kepada seorang lagi lelaki dikenali sebagai ‘Daddy T’.

“Mereka berdua tawarkan kerja di Kemboja dengan gaji kira-kira AS$1,000 (RM3,950) sebulan dan kata ia kerja ikut skrip di komputer, selain dakwa ia kerja ‘halal’.

“Tetapi mereka minta kami berbohong pada keluarga yang kami dapat tawaran kerja di Singapura.

“Selepas dua minggu berada di rumah transit di Ulu Tiram kami dibawa ke KLIA dan diterbangkan ke Kemboja pada pertengahan Februari lalu. Saya tak tahu langsung ia berkait kegiatan penipuan dan hanya sedar selepas sampai ke negara itu,” katanya.

Setibanya di Sihanoukville, mereka dipaksa menyertai kegiatan ‘love scam’, termasuk menyamar sebagai wanita bagi memperdaya mangsa dalam talian.

“Saya sempat menipu seorang mangsa kira-kira RM500, tetapi dipukul kerana tidak capai sasaran. Kami juga pernah dihukum dan dikawal supaya ikut arahan,” katanya, sambil mendedahkan ada mangsa turut dikenakan renjatan elektrik sebagai hukuman.

“Saya menyesal menyertai kumpulan kongsi gelap dan menerima tawaran kerja di Kemboja tanpa usul periksa. Saya harap orang lain tidak terpedaya dengan tawaran seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata pihaknya menggesa polis mengambil tindakan terhadap ejen yang merekrut mangsa.

“Kita minta Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman mengambil tindakan terhadap individu ini. Mereka perlu ditangkap dan didakwa,” katanya.

Beliau berkata, individu dikenali sebagai ‘Mr A’ dan ‘Daddy T’ dipercayai masih bebas dan aktif merekrut anak muda, dengan Johor dikenal pasti antara negeri tertinggi membabitkan kes penghantaran mangsa ke Kemboja, khususnya dalam kalangan belia Melayu.






Source link

OR

Scroll to Top