JMM manfaatkan teknologi AR & VR, lancar pameran maya Muzium Alam Semula Jadi

JMM manfaatkan teknologi AR & VR, lancar pameran maya Muzium Alam Semula Jadi


Jabatan Muzium Malaysia (JMM) di bawah Kementerian Perpaduan Negara melancarkan Program Pendigitalan Koleksi dan Pameran Maya Muzium Alam Semula Jadi sebagai langkah memperluas akses kepada warisan negara tanpa batasan geografi.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Dato’ Haslina Abdul Hamid di Galeri 2, JMM.

Manfaatkan teknologi AR dan VR

Inisiatif ini memanfaatkan teknologi Realiti Terimbuh (AR) dan Realiti Maya (VR) dalam sektor permuziuman, melibatkan pembangunan pameran maya, pendigitalan koleksi serta latihan teknikal kakitangan di bawah RMK-12 Rolling Plan 5 (RP5).

Setakat ini, sebanyak 255 koleksi berjaya didigitalkan melibatkan 135 koleksi etnologi dan 120 koleksi alam semula jadi termasuk artifak ikonik seperti Bendera Pertama Persekutuan Tanah Melayu, Piala Bola H.M.S Malaya, Celepa Diraja Terengganu dan Patung Avalokiteshvara.

“Program pendigitalan koleksi ini juga adalah usaha Kementerian untuk membolehkan koleksi artifak khususnya yang bersifat nadir dan sensitif dilindungi, didokumen secara sistematik dan diakses secara terkawal.
“Ini sekaligus membantu menyeimbangkan dua (2) peranan muzium iaitu perlindungan koleksi artifak dan alam semulajadi, serta penyebaran ilmu pengetahuan kepada masyarakat dengan cekap, pantas dan berkesan,” ujarnya.

Pengunjung disajikan dengan pengalaman imersif

Fasa pertama pameran ini menampilkan 120 spesimen hasil imbasan digital 3D daripada spesimen asal yang diawet, yang boleh dinikmati secara fizikal melalui peralatan VR di muzium atau secara dalam talian.

Pengunjung turut disajikan pengalaman imersif menerusi lapan segmen utama termasuk sejarah pengumpulan spesimen sejak 1880-an, kepelbagaian biodiversiti serta elemen interaktif seperti video dan kuiz.

Difahamkan, JMM menyasarkan kira-kira 7,500 kunjungan maya setiap bulan dalam tempoh tahun pertama, dengan harapan inisiatif ini mampu menarik minat generasi muda khususnya Gen Z dan Alpha terhadap ilmu taksonomi dan biodiversiti melalui pendekatan digital yang lebih moden dan interaktif.





Source link

OR

Scroll to Top