PENGALAMAN tiga orang lama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat masih menjadi taruhan dalam merealisasikan revolusi skuad negara Harimau Malaya apabila dijangka menang tanpa bertanding bagi Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM 2025-2029 pada 15 Februari depan.
Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayob bagi jawatan presiden menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin dan dua lagi calon timbalan presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram juga bakal mengekalkan posisi masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM Profesor Datuk Dr Abdullah Mohamad Said sebelum itu mengesahkan seramai 29 calon yang layak bertanding untuk pemilihan bagi mengisi 17 kerusi dalam Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2025-2029.
Abdullah
Katanya, 18 ahli gabungan FAM tidak termasuk Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang digantung keahlian telah diberi masa selama 24 hari untuk mengemukakan senarai nama calon masing-masing bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco).
“Selepas tempoh akhir yang diberikan iaitu pada jam 5.30 petang semalam (Khamis), terdapat satu ahli gabungan yang tidak menghantar borang pencalonan manakala satu ahli gabungan yang menghantar borang pencalonan tetapi tidak sempurna.
“Oleh itu, hanya pencalonan daripada 16 ahli gabungan yang sah diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan FAM.
“Selepas proses pengiraan, jumlah keseluruhan calon yang diterima ialah seramai 39 orang tetapi hanya 29 orang calon yang akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan memandangkan baki 10 orang calon lain itu tidak mendapat jumlah pencalonan minimum seperti yang termaktub dalam Artikel 31, Perenggan 6, Statut FAM,” katanya pada Jumaat.
Jelas Abdullah, bagi menandingi jawatan presiden, seseorang calon itu perlu mendapatkan sekurang-kurangnya enam pencalonan dari ahli-ahli gabungan FAM.
“Bagi jawatan timbalan presiden memerlukan lima pencalonan, jawatan naib presiden memerlukan empat pencalonan manakala jawatan ahli jawatankuasa eksekutif (Exco) memerlukan dua pencalonan.
“Calon-calon yang layak untuk bertanding ini akan diberikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan untuk mereka membalas semula borang berkenaan selewat-lewatnya pada Khamis depan dengan menyatakan persetujuan untuk bertanding jawatan yang dicalonkan atau sebaliknya iaitu tidak bersetuju.
“Pada masa sama, Jawatankuasa Pemilihan FAM juga akan menghantar nama mereka untuk proses saringan integriti membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI),” ujarnya lagi.
SENARAI AWAL CALON PEMILIHAN FAM PENGGAL 2025 – 2029
PRESIDEN (1 kerusi)
1. Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub
TIMBALAN PRESIDEN (2 kerusi)
1. Datuk Mohd Yusoff Mahadi
2. Datuk S Sivasundram
NAIB PRESIDEN (4 kerusi)
1. Datuk Seri Rosmadi Ismail
2. N Saaran
3. Datuk Mohd Azhar Jamaluddin
4. Datuk Dollah Salleh
5. Syed Yazid Syed Omar
AHLI (8 kerusi)
1. Datuk Mohd Hisamudin Yahaya
2. Tang Chee Hong
3. Mohd Azizudin Mohd Shariff
4. Hishamuddin Abdul Karim
5. Datuk Zainal Abidin Hassan
6. Zulkifli Che Harun
7. Datuk Kamarudin Hassan
8. Md Dali Wahid
9. Datuk Adly Shah Ahmad Tah
10. Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri
11. Datuk Mohd Azhar Jamaluddin *
12. Datuk Fathul Bari Mat Jahya
13. Datuk Dollah Salleh *
14. Christopher Raj
15. Datuk Dr P Sugumaran
16. Datuk Seri Afandi Hamzah
17. Datuk Mustapha Nagoor
18. Zamri Ibrahim
* Turut dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden
AHLI WANITA (2 kerusi)
1. Datuk Suraya Yaacob
2. Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah
3. Datuk Dr Fadillah Sarbi
4. Mini Afzan Afza
5. Nur Izwani Azman