JOHOR BAHRU: Negeri Johor membuka tirai tahun 2026 dengan sambutan istimewa ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa bersempena sambutan Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sambutan berkenaan berlangsung serentak di 13 pintu masuk utama Johor merangkumi laluan udara, laut dan darat.
Ia sekali gus mencerminkan kesiapsiagaan dan komitmen negeri itu dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang inklusif, kreatif dan mesra pengunjung sepanjang tahun 2026.
Inisiatif ini turut dijalankan seiring dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang diterajui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di peringkat nasional.
Bagi laluan udara, sambutan diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, manakala laluan laut melibatkan beberapa terminal feri utama termasuk Puteri Harbour, Berjaya Waterfront, Pasir Gudang, Desaru Coast, Kukup, Muar dan Tanjung Pengelih.
Sambutan turut dianjurkan bagi laluan darat di JB Sentral, Kompleks Sultan Abu Bakar di Second Link serta Hentian Rehat dan Rawat Pagoh arah selatan dengan program diteruskan pada keesokan harinya di Stesen Minyak Petron, Lebuhraya Second Link.
Ketibaan pelancong di beberapa lokasi utama disambut oleh barisan kepimpinan negeri termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Bandar, ketua jabatan dan agensi kerajaan, selain wakil industri pelancongan serta pegawai Tourism Johor dan Majestic Johor Tourism Sdn Bhd.
Penganjuran sambutan peringkat negeri ini direalisasikan menerusi kerjasama pelbagai pihak melibatkan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, penggiat industri pelancongan, syarikat penerbangan serta rakan strategik.
Sokongan yang diberikan merangkumi aspek logistik, penyediaan lokasi dan penganjuran bersama bagi memastikan kelancaran acara.
Bagi memeriahkan sambutan, pelancong terawal disambut dengan persembahan kebudayaan Johor seperti tarian zapin dan paluan kompang, selain menerima beg cenderahati berisi makanan tradisional negeri, rantai kunci eksklusif serta dekorasi lokasi bertemakan Tahun Melawat Johor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelaksanaan Tahun Melawat Johor 2026 adalah usaha menyeluruh dalam memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.
Beliau menegaskan kempen berkenaan melambangkan kesungguhan semua pihak dalam memartabatkan keunikan Johor, sama ada dari segi budaya, warisan mahupun pengalaman pelancongan yang ditawarkan kepada pengunjung.
Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran 12 juta pelancong dengan anggaran pendapatan sehingga RM42 bilion sepanjang Tahun Melawat Johor 2026.
Sasaran itu diyakini mampu memberi kesan berganda kepada ekonomi negeri, termasuk menjana peluang pekerjaan, memperkukuh imej Johor serta memberi manfaat kepada komuniti setempat menerusi sektor pelancongan dan industri berkaitan seperti pengangkutan, peruncitan, kraftangan serta perusahaan kecil dan sederhana.
Menampilkan lagu rasmi ‘Pesona Johor’ dengan tagline ‘Meh lah Johor’, kempen Tahun Melawat Johor 2026 bakal membawakan lebih 60 acara berskala besar dan bertaraf antarabangsa sepanjang tahun, merangkumi festival, pameran, acara kebudayaan dan sambutan komuniti yang dirancang bagi menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






