sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan meletakkan sasaran peribadi untuk membuat balingan sejauh 19 meter (m) di Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.
Menurut Jonah, fokus utama sudah pasti di Sukan Asia tetapi dia akan menyertai beberapa kejohanan sebagai persiapan untuk memastikan sasaran peribadi itu mampu dicapai.
Katanya, beberapa kejohanan tempatan dan luar negara sudah dirancang sebagai medan persediaan fizikal dan mental.
“Untuk tahun ini, fokus utama saya ialah Sukan Asia. Sasaran saya seperti biasa, 19 meter. Ia bukan mudah, tetapi saya harap dapat lakukan yang terbaik nanti.
“Kita tak mahu sampai pertandingan nanti rasa terkejut dengan suasana. Jadi pengalaman pertandingan seperti ini membantu dari segi persediaan diri sendiri.
“Saya mungkin akan menyertai pertandingan seperti kejohanan universiti, Terbuka Malaysia, Terbuka Taiwan dan Kejohanan Balingan Asia di Mokpo City, Korea Selatan,” katanya.
Mengulas peluang ke Sukan Asia, Jonah mengakui masih menunggu pengesahan kelayakan, namun yakin catatan semasanya mampu meletakkannya dalam kelompok lapan terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd






