ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Leong Jun Hao bakal berdepan ujian getir menentang pemain nombor satu dunia, Kunlavut Vitidsarn pada pusingan kedua Terbuka China, esok, namun dia mendapat suntikan keyakinan daripada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen.
Selepas mempamerkan prestasi cemerlang dengan menundukkan pemain Jepun, Kenta Nishimoto 21-15, 21-18 dalam tempoh 45 minit pada pusingan pertama di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou semalam, Jonassen percaya anak buahnya itu mampu memberi saingan sengit.
“Prestasi yang ditunjukkan Jun Hao hari ini (semalam) sangat baik. Dia bermain lebih agresif dan mengejar bulu tangkis untuk memberikan tekanan kepada Kenta. Pergerakannya pantas dan variasi pukulannya juga sangat bagus.
“Dia melaksanakan semua strategi dengan sempurna, terutama dalam keadaan stadium yang agak sukar di sini,” katanya.
Menurut Jonassen, skuad kejurulatihan akan mula merangka strategi khusus dalam sesi latihan hari ini bagi menghadapi Kunlavut yang juga juara dunia.
“Kami akan mula proses persediaan esok (hari ini) di sesi latihan dan akan memberikan segalanya untuk menentang juara dunia itu,” katanya.
Beliau turut melihat perubahan positif dalam permainan Jun Hao kali ini berbanding kejohanan sebelum ini seperti Terbuka Jepun.
“Keadaan di sini menuntut tahap komitmen yang lebih tinggi terhadap gaya permainan yang digunakan.
“Saya tidak menilai prestasi berdasarkan perlawanan tertentu, tetapi ini adalah satu pelaksanaan taktikal yang sangat baik daripadanya.
“Namun, masih banyak yang perlu dikembangkan dan dibina daripada asas yang ada sekarang. Satu persembahan yang baik tidak menjamin kejayaan sepanjang kejohanan, jadi kami perlu terus mendorongnya melangkaui batas kemampuannya untuk mencapai itu.”
Untuk rekod, Kunlavut menewaskan Jun Hao dalam dua pertemuan terakhir mereka di Terbuka Singapura dan Terbuka Thailand pada Mei lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd