Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah mengeluarkan saman terhadap individu yang didapati menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika menyertai konvoi kempen Pakatan Harapan (PH) termasuk petugas DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali yang didakwa terlibat dalam rakaman video tular.
Video berkenaan dipercayai dirakam dari sebuah kenderaan yang dinaiki Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, sebelum tular di media sosial dan mencetuskan desakan supaya tindakan penguatkuasaan diambil tanpa mengira parti politik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya memandang serius insiden itu dan menegaskan penguatkuasaan undang-undang keselamatan jalan raya perlu dilaksanakan secara adil terhadap semua pihak.
“Saya sudah arahkan JPJ mengeluarkan saman kepada sesiapa sahaja yang didapati melanggar peraturan ini berdasarkan bukti rakaman video yang tular, tanpa mengira latar belakang politik.
“Ini termasuk mereka yang terlibat dalam konvoi kempen PH di Johor,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Anthony berkata, pendiriannya mengenai pemakaian topi keledar adalah konsisten sejak dahulu dan pernah dinyatakan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim hampir enam tahun lalu.
“Ketika saya membangkitkan isu sama melibatkan pemimpin BN semasa kempen PRK Slim hampir enam tahun lalu, saya sudah tegaskan: tidak salah menunggang motosikal semasa berkempen, tetapi setiap penunggang wajib memakai topi keledar dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat.
“Prinsip ini terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian, termasuk calon dan petugas kempen PH Undang-undang keselamatan jalan raya tidak mengenal parti politik,” katanya.
Beliau menegaskan undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama terhadap semua rakyat Malaysia tanpa memilih bulu.
“Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini walaupun ia melibatkan rakan sekempen sendiri.
“Keselamatan nyawa rakyat mendahului kepentingan politik mana-mana pihak,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan sekumpulan petugas kempen DAP menyertai konvoi motosikal dengan kenderaan dihiasi bendera PH, namun ramai penunggang didapati tidak memakai topi keledar sepanjang program berkenaan.






