July 19, 2024

JPJ tahan bas sekolah bawa rombongan pengantin

JPJ tahan bas sekolah bawa rombongan pengantin



am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengesan tindakan pengusaha bas sekolah yang menjadikan kenderaan itu sebagai bas pesiaran untuk membawa rombongan pengantin ke negeri ini.

Kesalahan itu dikesan menerusi Ops Bersepadu Kenderaan Pelancongan, Kenderaan Perkhidmatan Awam/Bas Pesiaran dan Ekspres yang dijalankan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bermula jam 6.30 hingga 10 pagi di sini, hari ini.

Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, bas dalam perjalanan dari Kedah yang membawa seramai 40 penumpang itu dikesan melanggar syarat permit.

Katanya, pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit tidak dilesenkan sebagai bas persiaran dan mengendalikan rombongan pelancongan tanpa lesen pelancongan agensi yang sah.

“Bas sekolah hanya dibenarkan membawa murid sekolah dengan jarak perjalanan yang dibenarkan dalam lingkungan 30 kilometer sahaja.

“Bagaimanapun bas ini membawa keluarga yang sangat besar dari Kedah ke Terengganu dan kenderaan sangat berisiko sebab ia tidak mampu membawa penumpang dalam perjalanan jarak jauh,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan operasi di pekarangan parkir Masjid Terapung Kuala Ibai dekat sini hari ini.

Menurut Zamri, siasatan awal juga mendapati pengusaha bas terbabit pernah dikenakan tindakan atas kesalahan sama oleh MOTAC pada Januari lalu.

Katanya, JPJ memandang serius kesalahan itu kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa penumpang,” katanya.

Dalam operasi itu, sebanyak 11 kenderaan perkhidmatan awam dan bas pesiaran diperiksa dengan empat saman dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada pemandu kedua sebanyak dua kes dan tiada pemandu pelancong serta salah guna permit perlancongan masing-masing satu kes.

Selain itu 12 kesalahan teknikal juga dikesan iaitu pemadam api luput tarikh, tiada peti pertolongan cemas dan membawa aksesori berbahaya.

“Bermula Januari hingga Mei tahun ini, JPJ Terengganu telah memeriksa sebanyak 1,349 kenderaan perkhidmatan awam dan 44 darinya telah diambil tindakan kerana pelbagai kesalahan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top