Kabinet larang menteri bertanding jawatan persatuan sukan

Kabinet larang menteri bertanding jawatan persatuan sukan


KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melarang anggota pentadbiran bertanding jawatan persatuan sukan.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu hantaran di media sosial.

Serentak itu, Nik Nazmi memberitahu beliau akan menarik diri daripada bertanding bagi jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

“Kabinet hari ini memutuskan untuk anggota pentadbiran tidak bertanding jawatan persatuan sukan. Justeru, saya menerima keputusan tersebut dan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden KLFA.

“Saya akan terus komited menyokong KLFA membangunkan ekosistem bola sepak yang sihat dan menyokong kejayaan KL City FC sebagai pasukan bola sepak profesional,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, beliau  akan terus menjadi penaung Kelab Bolasepak Setiawangsa Rangers yang diasaskan pada 2018.

Setiawangsa Rangers merupakan salah satu kelab gabungan KLFA.

Pada 8 Ogos lalu Nik Nazmi mengesahkan menawarkan dirinya bertanding bagi jawatan Presiden KLFA.

Dalam satu video yang dimuat naik di TikTok, Nik Nazmi berkata ia satu amanah yang besar untuk mengembalikan kepercayaan peminat bola sepak dan sudah tiba masanya mengembalikan maruah bola sepak Kuala Lumpur.

Nik Nazmi berkata, beliau telah mengadakan siri perbincangan dengan tokoh-tokoh korporat, profesional, dan institusi kerajaan bagi bersama-sama wakil kelab-kelab gabungan untuk mengemudi KLFA.

Sebelum ini, nama Nik Nazmi dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil antara yang disebut-sebut akan merebut jawatan sebagai presiden KLFA.

Jawatan Presiden KLFA ketika ini dipangku Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid selepas Khalid Samad melepaskan jawatan itu pada Mac lalu.-MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top