Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kanak-kanak berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang ketika hujan lebat di Lorong Cakera Purnama 12/27, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 7.47 malam.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, anggota bertugas dimaklumkan orang awam bahawa mangsa jatuh ke dalam longkang pada 3.30 petang dan hanyut dibawa arus deras ketika hujan lebat,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Ahmad Mukhlis berkata, ketika ini kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






