Arlington, Texas: Kapten England, Harry Kane menggesa rakan sepasukannya supaya bermain tanpa tekanan dan berani memburu kemenangan ketika memulakan kempen Piala Dunia menentang Croatia, awal pagi esok.
Menurut penyerang Bayern Munich itu, skuad kendalian Thomas Tuchel memiliki peluang terbaik untuk menamatkan kemarau trofi utama England yang sudah berlarutan selama enam dekad.
England hadir ke Piala Dunia kali ini sebagai antara pasukan pilihan selepas beberapa kali hampir menjulang trofi dalam kejohanan utama termasuk dua final Kejuaraan Eropah dan kemaraan ke suku akhir Piala Dunia 2022.
“Sudah tentu ini adalah antara peluang terbaik yang kami ada sebagai satu pasukan untuk memenangi kejohanan ini.
“Sekarang semua pemain tidak sabar untuk memulakan kempen dengan baik dan membuktikan bahawa kami mempunyai kemampuan untuk pergi jauh dalam kejohanan ini,” katanya.
Kane yang kini berusia 32 tahun hadir ke kejohanan selepas sekali lagi mempamerkan ketajaman di depan gol bersama Bayern Munich musim ini.
Beliau dijangka menjadi sandaran utama England untuk menghasilkan jaringan ketika skuad The Three Lions mengimpikan kejuaraan dunia pertama sejak 1966.
Mengulas mengenai tekanan yang sering mengiringi England setiap kali beraksi di kejohanan besar, Kane berkata pemain perlu turun dengan mentaliti bebas dan tidak terlalu memikirkan harapan luar.
“Bagi saya, mesej paling penting ialah bermain dengan fikiran yang bebas.
“Dalam mana-mana kejohanan, jika anda berani mencuba, berani memburu kemenangan, berani melakukan tekanan ke atas lawan dan memberikan segala-galanya di atas padang, maka anda boleh mengangkat kepala dengan bangga walau apa pun keputusannya nanti,” katanya.
Sementara itu, England menerima tamparan awal apabila pertahanan kanan, Tino Livramento disahkan terlepas baki kejohanan selepas mengalami kecederaan betis ketika sesi latihan di Kansas City.
Pemain berusia 23 tahun itu digantikan dengan Trevoh Chalobah dalam senarai akhir pasukan.
Tuchel mengakui kehilangan Livramento satu tamparan buat pasukan, namun menegaskan skuadnya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran sebenar di Piala Dunia.
“Sudah tentu dia kecewa dan kami juga kecewa kerana dia adalah pemain penting yang berada dalam prestasi baik.
“Tetapi kecederaan itu berlaku beberapa hari lalu dan kami sudah melaluinya. Kini kami bersedia untuk memulakan kempen,” kata Tuchel.
England pernah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2018 sebelum disingkirkan Croatia, manakala pada edisi 2022 mereka terkandas di suku akhir.
Mengulas harapan tinggi penyokong di tanah air, Tuchel berharap pasukannya mampu mempamerkan semangat serta komitmen yang ditunjukkan sepanjang kem latihan.
“Saya harap penyokong dapat menikmati perlawanan kami dan melihat sendiri apa yang saya saksikan sepanjang 16 hari terakhir.
“Usaha, suasana dan sikap yang ditunjukkan pemain serta seluruh pasukan sangat luar biasa. Saya harap kami dapat menzahirkan perkara itu di atas padang dan membuatkan mereka bangga.
“Kami berhak untuk bermimpi, tetapi kami tidak mahu berkhayal,” katanya.
Selain England dan Croatia, Kumpulan L turut dibarisi Ghana dan Panama dalam saingan yang dijangka sengit.
© New Straits Times Press (M) Bhd






