Malaysia hantar skuad B ke Piala Raja Thai

Malaysia hantar skuad B ke Piala Raja Thai


PETALING JAYA: Skuad Sepak Takraw negara bakal mempertaruhkan gabungan pemain berpengalaman dan muda pada Kejohanan Piala Raja Thai di Bangkok, Ogos ini.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dengan menggabungkan tujuh pemain yang tidak beraksi pada Piala Dunia sebelum ini bersama lima pemain daripada skuad juara dunia.

Katanya, pendekatan itu merupakan proses transisi skuad kebangsaan bagi menyediakan pelapis yang mampu menggantikan pemain senior pada masa depan.

“Kalau boleh dikatakan, ini adalah skuad kedua pasukan kebangsaan untuk ke Piala Raja Thai. Kita mahu memberi peluang kepada pemain muda merasai suasana pertandingan besar, menyerap tekanan dan mengumpul pengalaman beraksi pada intensiti tinggi.

“Mereka adalah pemain masa depan negara dan inilah platform terbaik untuk mereka membuktikan kemampuan,” katanya.

Ahmad Jais berkata, bagi edisi kali ini Malaysia akan menyertai tiga acara iaitu regu,kuadran dan berpasukan dengan membawa keseluruhan 13 pemain.

Daripada jumlah itu, empat pemain beraksi di posisi tekong, lima apit kanan dan empat apit kiri bagi memastikan keseimbangan pasukan terutama dalam acara kuadran yang memerlukan lebih ramai pemain di posisi apit kanan.

Antara pemain berpengalaman yang disenaraikan ialah tekong Muhammad Zahrif Marican Ibrahim Marican dan Muhammad Haziq Hairul Nizam, selain Mohammad Hafizul Hayazi Adnan ,Muhammad Noraizat Mohd Nordin serta Zuleffendi Sumari.

Mereka akan digandingkan dengan beberapa pemain muda iaitu Muhammad Fahmi Khalid , Zuhri Muhammad Zin, Mohammad Kamarul Ezzad Mohammad Kamarul Imran, Muhammad Zulfikri Wajawwa Muhammad Zulhanifa, Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal Mustafa, Jefri Ahmad, Muhammad Wazir Madi dan Muhamad Fetri Mohd Azwadi.

Ahmad Jais meletakkan misi mara ke final bagi acara Regu dan Berpasukan, manakala acara kuadran disasarkan sekurang-kurangnya berada dalam kelompok empat terbaik.

Beliau turut mengakui cabaran bakal lebih sengit terutama apabila Thailand beraksi di gelanggang sendiri dan pastinya mahu menebus kekecewaan selepas gagal menyerlah pada saingan sebelum ini.

“Mereka bekerja keras dan saya nampak mereka sudah bersedia.Ini peluang terbaik untuk mereka membuktikan bahawa mereka juga layak mewakili negara dan mampu berdiri sebaris dengan pemain senior,” ujarnya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top