May 27, 2024

KDA FC jawab isu sekatan perpindahan pemain oleh FIFA


KEDAH Darul Aman (KDA) FC mengambil maklum atas notis sekatan perpindahan pemain yang dikenakan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas kelab tersebut pada 4 Mac lalu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Shahrul Samsudin berkata, baru-baru ini, timbul berita dari laman media sosial ASEAN Football, menyenaraikan KDA FC sebagai antara kelab yang dikenakan sekatan oleh FIFA untuk mendaftar pemain baharu.

Menurutnya, berita tersebut dikeluarkan kepada umum bukan melalui sumber rasmi kelab, Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Isu ini telah memberi imej negatif kepada pentadbiran kelab walaupun telah ditangani dengan sewajarnya dengan pihak yang menuntut.

“Untuk penjelasan, sekatan oleh FIFA ini melibatkan tuntutan bekas pemain import pasukan Kedah pada musim 2020 & 2021 yang bersangkutan dengan rekod cukai pendapatan tertunggak pemain import (pihak yang menuntut) bagi tahun tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas Shahrul, walaupun beberapa proses rundingan telah diadakan, berlaku masalah teknikal penyelesaian yang mengakibatkan KDA FC dikenakan hukuman oleh FIFA walaupun pemain tersebut telah bebas sepenuhnya dari arahan sekatan perjalanan untuk perjalanan ke luar Malaysia.

Menurutnya, isu teknikal ini telah diambil maklum oleh pihak FAM serta MFL yang telah disedari dari awal lagi dan di pihak pengurusan kelab telah mengikuti dengan sewajarnya nasihat serta beberapa siri perbincangan diadakan bersama pihak yang terlibat.

“Satu kaedah persetujuan telah dicapai hari ini yang mana tuntutan dari pihak yang menuntut telah diselesaikan.

“Status sekatan perpindahan ini juga akan ditarik balik setelah pihak FIFA menerima maklumat terkini penyelesaian dari pihak menuntut bagi menarik balik sekatan dalam masa terdekat seterusnya KDA FC bebas membuat pendaftaran pemain baharu musim 2024/25,” ujar beliau.

Pada khamis lalu, media melaporkan FIFA menghalang enam kelab Liga Malaysia daripada menandatangani pemain baharu bagi musim yang mendatang.

Perkara ini berdasarkan kemas kini daripada laman ASEAN Football berkenaan satu pangkalan data yang baru diwujudkan oleh FIFA.

Kelab yang disenarai pendek ialah KDA FC, KL City, Kelantan FC, Perlis, Melaka dan Sarawak United.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28



Source link

OR

Scroll to Top