September 8, 2024

Kecewa keputusan speaker, ada kelemahan dalam Akta Anti Lompat Parti

Kecewa keputusan speaker, ada kelemahan dalam Akta Anti Lompat Parti


KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Dewan Rakyat menyemak semula Perkara 49A(2)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan apabila seorang ahli Parlimen dipecat oleh partinya tidak akan kehilangan status sebagai ahli Parlimen dan boleh menyertai parti-parti lain.

Menurut presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, peruntukan tersebut membuktikan terdapat kelemahan dalam Akta Anti Lompat Parti yang boleh dimanfaatkan oleh ahli politik.

Beliau juga mengatakan kerana ada perkara itu, parti politik yang memecat seorang ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak akan menyebabkan individu tersebut kehilangan kerusinya.

“Ini membolehkan “katak politik” memanfaatkan kelemahan ini untuk melompat parti,” katanya menerusi kenyataan.

Terbaharu, Bersatu mengesahkan enam bekas ahli Parlimennya kekal sebagai wakil rakyat selepas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan tidak berlaku kekosongan kerusi mereka.

Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dinyatakan Johari menerusi surat bertarikh 9 Julai.

Mengulas lanjut, Dominic menyifatkan kerajaan berpura-pura memperjuangkan demokrasi dan reformasi apabila merasionalkan tindakan enam bekas Ahli Bersatu yang melompat parti.

Malah, katanya lagi, kerajaan pada hari ini hakikatnya telah mengkhianati kepercayaan pengundi.

Sementara itu, Dominic meluahkan rasa kecewa terhadap Speaker Dewan Rakyat.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke menyatakan pendirian tentang tindakan bekas Ahli Parlimen Bersatu yang meninggalkan parti itu.

Katanya, ini kerana para pemimpin DAP sebelum ini secara lantang mengutuk keras tindakan ‘katak politik’ dan mengecam mereka di perhimpunan awam serta meminta pengundi untuk menilai perbuatan tersebut.

“Sekarang, adakah kerana tindakan ini menguntungkan kedudukan Kerajaan Perpaduan, mereka memilih untuk berdiam diri? Sekarang mereka dianggap sebagai aset berharga membuktikan segala yang dikatakan oleh DAP dahulu adalah pembohongan untuk menipu rakyat?

“Ketebalan muka para pemimpin DAP benar-benar membuat saya tidak boleh bersuara, saya ingin mengingatkan Anthony Loke, jangan fikir pengundi tidak melihat apa yang kamu lakukan, DAP mempunyai 40 ahli Parlimen namun tidak berani menentang tindakan kerajaan yang salah di Dewan Rakyat atau dalam Kabinet,” ujarnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top