ARAU: Suasana di negeri ini cukup meriah menjelang sambutan bersejarah Jubli Perak selama 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, 17 April ini.
Di jalan-jalan utama khususnya Arau di sini yang juga merupakan Bandar Diraja dilimpahi cahaya lampu selain premis-premis serta jalan raya pula berkibar bendera negeri.
Di Istana Arau di sini yang cukup indah dengan cahaya turut membuat persiapan rapi dalam menyambut keberangkatan Raja-Raja Pemerintah atau wakil-wakil bersama Tuan-Tuan Yang Terutama dari seluruh negara termasuk Brunei yang akan berada di Perlis bagi menghadiri Majlis Santapan Malam Diraja di Istana Arau pada malam 17 April tersebut.
Pelbagai program juga telah diatur sepanjang tahun ini bagi memeriahkan sambutan julung kali diadakan sejak pemerintahan baginda bermula dari tahun 2000 sehingga 2025 itu.
Sementara itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru orang ramai bertandang ke Perlis bagi bersama-sama rakyat negeri ini meraikan sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis.
“Selain acara utama iaitu Majlis Santapan Malam Diraja di Istana Arau pada 17 April melibatkan tetamu-tetamu diraja dari seluruh negara, pelbagai program lain juga telah diatur.
“Antaranya termasuklah Majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan, persembahan orkestra Diraja, program sisipan khas oleh Tentera Darat Malaysia dan pelbagai lagi,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin iaitu anak kedua dan merupakan putera pertama daripada 10 anakanda Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Tuanku Tengku Budriah Tengku Ismail telah diputerakan di Istana Arau pada 17 Mei 1943.
Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000 selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Syed Putra dan istiadat pertabalan Tuanku Syed Sirajuddin telah disempurnakan pada 7 Mei 2001 di Istana Arau.
Sementara itu, kakitangan swasta, Mohd. Shukri Mat Isa,41, berkata, sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis yang julung kali diadakan cukup bersejarah khususnya buat seluruh rakyat di negeri ini.
Katanya, sepanjang pemerintahan, Tuanku Syed Sirajuddin juga merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat dan amat prihatin dalam segala aspek termasuk kebajikan.
“Baginda sentiasa memastikan rakyat semua peringkat diberi perhatian dan bantuan sewajarnya,” katanya.
Seorang peniaga, Lim Peng Chuan,62, pula berkata, suasana di Perlis sempena sambutan Jubli Perak cukup meriah dengan premis-premis perniagaan berkibaran bendera negeri.
“Pelbagai acara menarik juga berlangsung sepanjang sambutan berkenaan dan kita tidak melepaskan peluang meraikannya,” katanya.-UTUSAN