Soalan:
Apakah makna perkataan ini: Siapa mengenal dirinya dia mengenal Tuhannya?
Jawapan:
Berkata sebahagian ulamak perkataan siapa mengenal dirinya maka dia mengenal Tuhannya ini adalah perkataan seorang sufi yang bernama Yahya bin Mu’az Ar-Razi.
Dan maksud perkataan ini ialah barang siapa yang belajar sehingga dia tahu bahawa dirinyalah bersifat dengan kekurangan maka yakinlah bahwa Allah Taala yang bersifat dengan kesempurnaan.
Berkata Imam Nawawi:
معناه من عرف نفسه بالضعف والافتقار إِلى الله تعالى، والعبودية له، عرف ربه بالقوة، والقهر، والربوبية، والكمال المطلق، والصفات العليا. ومن عرف ربه بذلك كَلَّ لسانُه عن بلوغ حقيقة شكره، والثناءِ عليه كما ثبت في صحيح مسلم وغيره أن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم قال : سبحانَك لا أحصي ثناء عليك، أنت كما أثنيت على نفسك
Ertinya: “Makna perkataan ini ialah barang siapa mengenal akan dirinya yang bersifat dengan lemah dan berhajat kepada Allah Taala dan hak kehambaan baginya nescaya dia akan mengenali Tuhannya yang bersifat dengan kuat dan perkasa dan menguasai dan kesempurnaan yang mutlak dan segala sifat yang maha tinggi. Dan barang siapa yang mengenal akan Tuhannya nescaya kelu lidahnya dari sampai kepada sebenar-benar syukur kepada-Nya dan sebenar-benar memuji-Nya sepertimana yang sabit pada sahih Muslim dan lainnya bahawasanya Rasulullah sollallahu alaihi wasallam bersabda: Maha Suci Engkau tiada dapat aku hitung kepujian atas Engkau sebagaimana Engkau memuji atas diri-Mu.” (Kitab Fatawa An-Nawawi)
Berkata Syekh Tajuddin Atha’illah : Berkata Syeikh Abu Al-‘Abbas Al-Mursi:
ﻣَﻦْ ﻋَﺮَﻑَ ﻧَﻔْﺴَﻪُ ﺑِﺬُﻟِّﻬَﺎ ﻭَﻋَﺠْﺰِﻫَﺎ ﻭَﻓَﻘْﺮِﻫَﺎ ﻋَﺮَﻑَ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﺑِﻌِﺰِّﻩِ ﻭَﻗُﺪْﺭَﺗِﻪِ ﻭَﻏِﻨَﺎﻩُ، ﻓَﺘَﻜُﻮﻥُ ﻣَﻌْﺮِﻓَﺔُ ﺍﻟﻨَّﻔْﺲِ ﺃَﻭَّﻟًﺎ ﺛُﻢَّ ﻣَﻌْﺮِﻓَﺔُ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻣِﻦْ ﺑَﻌْﺪُ
Ertinya: “Barang siapa mengenali akan dirinya yang bersifat dengan kehinaan dan kelemahan dan kefaqiran maka dia mengenal akan Allah yang bersifat dengan mulia dan kuasa dan kaya-Nya. Maka jadilah kenal dirinya pada permulaan kemudian kenal Allah selepasnya.” (Kitab Lathoif Al-Minan)
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 27/10/2024