Inisiatif wakaf Al-Quran merupakan langkah penting dalam menyebarkan ilmu dan mempermudah akses kepada kitab suci bagi masyarakat di seluruh dunia.
Melalui wakaf, naskhah Al-Quran dapat disediakan secara percuma kepada mereka yang memerlukan, sekali gus memastikan ilmu dan mesej Al-Quran terus sampai kepada generasi akan datang. Program seperti ini bukan sahaja menyemai keberkatan, tetapi juga membina semangat ukhwah dan tanggungjawab sosial dalam kalangan komuniti.
Selain daripada nilai spiritual, wakaf Al-Quran juga menjadi medium penting untuk pendidikan dan pembangunan masyarakat. Naskhah yang diagihkan melalui program ini membolehkan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk mereka yang berada di kawasan terpencil, mendapat akses kepada pembelajaran Al-Quran dalam bahasa ibunda masing-masing.
Usaha ini secara tidak langsung turut menyokong kelestarian budaya Islam serta penghayatan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Inisiatif global seperti Projek Satu Juta Waqf Al-Quran menunjukkan bagaimana wakaf boleh digabungkan dengan teknologi moden bagi mencapai impak lebih besar. Dengan pendekatan digital, pewakaf dari seluruh dunia dapat menyertai usaha ini secara mudah dan telus, seterusnya memperluas capaian dan keberkesanan program.
Mengiktiraf kepentingan ini, ToyyibPay Sdn Bhd memeterai Perjanjian Usaha Sama (MoA) dengan Yayasan Restu bagi membangunkan satu Portal Waqf Digital yang selamat dan telus.
Projek ini bertujuan untuk memperkukuh penyebaran Al-Quran melalui wakaf dan membuka ruang kepada lebih ramai penyumbang untuk turut serta.
Majlis penandatanganan berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya, disaksikan Pengerusi ToyyibPay, Datuk Dr. Mazlan Ahmad dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latif Mirasa.
Melalui kerjasama ini, ToyyibPay menyediakan infrastruktur pembayaran digital patuh shariah, manakala Yayasan Restu menyumbang kepakaran dalam percetakan, penjagaan dan pengedaran Al-Quran. Matlamat utama adalah untuk menyediakan satu juta naskhah Waqf Al-Quran kepada komuniti yang memerlukan di seluruh dunia.
Datuk Dr. Mazlan menjelaskan projek ini muncul susulan insiden pembakaran Al-Quran di Sweden, dan pengumuman Perdana Menteri pada 2023 bahawa Malaysia akan menghantar satu juta naskhah Al-Quran bagi setiap naskhah yang dibakar.
“Kerjasama ini memberi peluang untuk memperluas capaian wakaf Al-Quran dengan lebih telus. Platform digital ini membolehkan sumbangan pewakaf disalurkan secara mudah, selamat dan memberi manfaat berpanjangan kepada generasi akan datang,” katanya.
Datuk Abdul Latif pula menekankan bahawa MoA ini bukan sekadar dokumen rasmi, tetapi satu amanah untuk memastikan mesej Al-Quran sampai kepada lebih ramai orang, di dalam dan luar negara.
“Yayasan Restu telah berpengalaman lebih 30 tahun dalam menyampaikan Al-Quran dan pendidikan Al-Quran. Dengan sokongan ToyyibPay, usaha ini kini lebih mudah diakses dan dipercayai, memberi peluang kepada lebih ramai untuk menyumbang,” katanya.
Majlis ini juga menyaksikan ToyyibPay menandatangani tiga lagi MoU bersama Namirial, Kirarafics, dan Masjid Pro bagi modul keselamatan digital, perkhidmatan wasiat digital dan aplikasi pengurusan masjid.






