SEJARAH unik tercipta apabila Malaysia dan Arab Saudi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kualiti serta mutu sukan berbasikal di negara masing-masing.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, MoU tersebut ditandatangani menerusi aplikasi Zoom pada jam 4 petang Khamis (11 pagi waktu Arab Saudi).
“MoU ini ialah antara agenda penting saya selepas dipilih sebagai Presiden PKBM. MoU ini bertujuan untuk meningkatkan prestasi pelumba di Malaysia dan Arab menerusi kaedah tersusun dan saintifik,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Ia merupakan kali pertama Malaysia bekerjasama dengan negara luar dan Arab Saudi dipilih sebagai rakan strategik kerana Presiden Saudi Cycling Federation (SACF), Abdullah Ali Al-Wathlan memiliki visi yang sangat hebat untuk memajukan sukan berbasikal di rantau Asia.
MoU tersebut berteraskan sembilan agenda penting termasuk saling bertukar pengalaman dan maklumat bagi meningkat kualiti serta mutu sukan berbasikal di Malaysia dan Arab Saudi dalam tempoh terdekat.
Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkata, MoU tersebut bertujuan menyuburkan budaya sukan berbasikal di Malaysia dan Arab Saudi.
“Paling penting ialah Arab Saudi akan diberikan peluang untuk menyertai mana-mana pertandingan dan kejohanan kebangsaan di Malaysia. Ada kemungkinan juga pelumba Arab Saudi boleh sertai Le Tour de Langkawi,” katanya.
Sebagai balasan, skuad lebuhraya Malaysia pula berpeluang menyertai AlUla Tour anjuran ASO – penganjur Tour de France – yang dianggap perlumbaan elit yang pernah menampilkan Simon Yates daripada pasukan Jayco AlUla.
Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) memaklumkan bahawa Malaysia juga akan memberi peluang kepada SACF untuk mengadakan kem latihan dan menghantar pelumbanya berlatih di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
“Fasa seterusnya ialah PKBM akan membantu SACF bagaimana untuk meningkatkan kualiti komisar kebangsaan di Arab Saudi, selain memberi tunjuk ajar kepakaran bagaimana menganjurkan kejohanan besar kepada mereka.
“Malaysia sememangnya dikenali sebagai antara penganjur ACC (Kejohanan Lumba Basikal Asia) yang sangat efisien dan jarang menimbulkan masalah kepada negara peserta.
“Dalam hal ini, saya percaya PKBM memiliki ramai pakar dalam disiplin trek, lebuhraya, BMX dan MTB (basikal bukit) yang boleh membantu meningkat kualiti sukan berbasikal di Arab Saudi.
“Pada masa yang sama, MoU ini juga akan menyaksikan pertukaran jurulatih khususnya disiplin trek. Kita memiliki beberapa pelumba bertaraf dunia. Mungkin kita boleh bantu Arab Saudi untuk melahirkan pelumba bertaraf dunia,” katanya.
Malaysia memiliki beberapa nama besar termasuk Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang pernah muncul juara dunia menerusi acara keirin pada Kejohanan Trek Dunia 2017 di Hong Kong, China.
Amarjit yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) menegaskan MoU tersebut tidak akan memberi ikatan atau implikasi kewangan kepada PKBM atau SACF.
“Kami akan pastikan semua maklumat yang dijalin menerusi MoU ini kekal sulit. Apa yang penting ialah PKBM dan SACF meraih faedah besar menerusi MoU ini,” katanya.