May 20, 2024

Kes Faisal Halim: Ada maklumat tampil ke balai polis, bukan sebar di media sosial


KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan telah menahan suspek ketiga membabitkan kes simbah asid terhadap tonggak pasukan bola sepak kebangsaan, Faisal Halim.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini hanya dua orang ditangkap bagi kes tersebut.

“Ada juga tanya tular mengenai ada tangkapan ketiga, tiada. Macam kita beritahu sebelum ini, ada dua sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Resepsi Penghargaan dan Pengumuman Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di Jalan Duta hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung tular di media sosial dakwaan tangkapan individu ketiga membabitkan seorang pengawal peribadi.

Mengulas lanjut, Razarudin turut menasihati mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan insiden yang menimpa tonggak utama Selangor FC itu untuk tampil membuat laporan di balai polis berdekatan.

“Siasatan hari ini kita ambil serius, dalam media sosial sebar, ini tak bagus, jangan buat spekulasi, tak bagus.

“Jika ada maklumat yang disebarkan di media sosial, kita akan pantau,” tegasnya.

Sebelum ini, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali menyebabkan kecederaan pada badannya.

Pemain Selangor FC itu dikatakan diserang ketika berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya pada petang Ahad lalu. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top