Pendakwah bebas, PU Rahmat Ikhsan menegur tindakan segelintir pihak yang melabel sebuah universiti terkemuka sebagai “Universiti Maksiat” susulan isu pementasan teater yang tular, dengan menyifatkan gelaran itu sebagai keterlaluan.
Menerusi satu hantaran di laman Threads, beliau berkata institusi berkenaan masih mempunyai pelbagai program berilmu yang melahirkan golongan cendekiawan, khususnya melalui Akademi Pengajian Islam (API).
“Melabel UM sebagai universiti maksiat adalah keterlaluan, masih banyak program berilmu dan API adalah lubuk atau rahim melahirkan ramai cendekiawan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan insiden tersebut wajar dijadikan sebagai peringatan kepada pihak universiti untuk menilai semula dasar serta aspek pemantauan agar perkara sama tidak berulang.
“UM wajar mengambil kes ini sebagai ‘wake-up call’ dan mengubah polisi,” ujarnya.
Artikel lain: Isu teater ‘panas’: KPT gesa penjelasan daripada UM -“Akan dapatkan maklumat…”
Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan masyarakat agar tidak terlalu cepat menghukum sehingga menjejaskan keseluruhan reputasi institusi pendidikan tersebut.
“Sedikit kesalahan jangan meruntuhkan segala kebaikan. berpada-padalah wahai umat kerana kita umat bukan nabi yang maksum,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan babak intim antara seorang lelaki dan wanita di atas pentas yang dipercayai sebahagian daripada pementasan teater di UM.
Susulan itu, pihak universiti tampil memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku serta kegusaran yang timbul dalam kalangan masyarakat.
UM turut memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius isu berkenaan dan mengambil maklum setiap kebimbangan yang dibangkitkan oleh orang ramai.
Sumber: Threads rahmat.ikhsan.official






