Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) merekodkan kutipan cukai langsung sebanyak RM203.991 bilion pada 2025, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi dalam sejarah negara dan buat kali pertama melepasi paras RM200 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pencapaian luar biasa itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM19.186 bilion atau 10.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata, prestasi kukuh itu membolehkan kerajaan memperuntukkan tambahan dana bayaran balik cukai sebanyak RM11.4 bilion kepada pembayar cukai syarikat yang tertunggak.
“Ini sekali gus menyelesaikan komitmen lampau secara lebih tersusun dan telus.
“Sesungguhnya sistem percukaian yang baik bukan sekadar cekap mengutip, tetapi juga adil dan saksama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Hari HASiL ke-30 Tahun 2026 di Putrajaya hari ini, yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Anwar berkata, dalam dunia yang dilanda ketidaktentuan ketika ini, HASiL perlu terus memperkukuh keupayaan analitik dan pendigitalan bagi memastikan sistem percukaian negara kekal cekap dan diyakini.
Menurutnya, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi perlu diperkasa untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan ketirisan serta memudahkan pematuhan dalam kalangan pembayar cukai.
“Dalam masa yang sama, perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan mesti terus dipermudah, dipercepat dan diperkemas.
“Matlamatnya bukan sekadar kutipan cukai yang lebih tinggi, tetapi sistem percukaian yang lebih adil, telus dan diyakini,” katanya.






