Lapan sijil kelahiran sudah dikeluarkan sindiket pendaftaran lewat kelahiran – SPRM

Lapan sijil kelahiran sudah dikeluarkan sindiket pendaftaran lewat kelahiran – SPRM



mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan sekurang-kurangnya lapan sijil kelahiran sudah dikeluarkan sindiket pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Kegiatan itu terbongkar selepas SPRM melancarkan Ops Outlander dan Ops Birth kelmarin membabitkan serbuan ke atas beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.

Menurut sumber, susulan serbuan itu, 16 individu ditahan membabitkan pengamal perubatan bergelar Datuk Seri, pengamal undang-undang, penjawat awam dan orang awam.

“Siasatan mendapati penipuan yang dilakukan ini membabitkan permintaan daripada warga asing. Sindiket akan memproses dokumen bagi membolehkan bayi yang dilahirkan menerima sijil kelahiran warganegara.

“Sindiket ini juga beroperasi sejak 2013 dan disyaki didalangi warga asing, klinik swasta dan pegawai sebuah agensi kerajaan,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Sumber berkata, setakat ini lapan sijil kelahiran sudah dikeluarkan dan disyaki dilakukan pegawai agensi kerajaan yang menerima rasuah daripada sindiket.

Muka depan Harian Metro hari ini melaporkan pengamal perubatan bergelar Datuk Seri antara 16 individu ditahan SPRM kerana disyaki terbabit rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, bagi Ops Outlander, suspek utama adalah penjawat awam dan dia disyaki melakukan perbuatan itu dengan membantu permohonan sebagai pendaftaran lewat kelahiran iaitu untuk yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.

“Dipercayai, pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa klinik dan pusat bersalin berperanan mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top