Pengacara dan selebriti serba boleh, Kelly Azman sering percaya pentas yang baik bukan sekadar tentang suara dan lagu, tetapi tentang keselesaan rakan gandingan serta suasana yang sampai kepada penonton.
Atas prinsip itu, gandingan bersama penyanyi dan pengacara Ani Mayuni terus kekal serasi, terutama ketika mengendalikan persembahan sepanjang Ramadan.
“Sedar tak sedar, dah dekat 15 tahun kami berkawan dan selalu bergandingan sebagai pengacara, terutama bila Ramadan.
“Saya senang bekerjasama dengan Ani kerana dia seorang penyanyi dan penghibur yang mudah dibawa berbincang dan kami ada ‘chemistry’ itu,” kata Kelly kepada XTRA.

Kelly berkongsi perkara itu ketika ditemui majlis Ramadan Review di St Giles Boulevard Hotel, Mid Valley, baru-baru ini.
Sepanjang Ramadan, Kelly dan Ani bakal menghiburkan pengunjung yang berbuka puasa di hotel tersebut.
Kelly menjelaskan pemilihan Ani sebagai rakan gandingan dibuat kerana pengalaman serta profesionalisme yang dimiliki penyanyi tersebut serta persahabatan dan kerjasama yang sudah lama terjalin, khususnya dalam mengendalikan acara pada bulan Ramadan.
Dalam pada itu, Kelly turut menekankan aspek disiplin dan penampilan sebagai perkara asas yang tidak boleh dipandang ringan, terutama ketika berada di depan penonton.

“Bagi saya, disiplin dan penampilan itu sangat penting. Bukan semua artis jaga benda ini. Ada yang naik pentas tak bersiap, pakaian biasa, sekadar sapu gincu. Itu memang tak kena,” katanya.
Dalam pada itu, Ani Maiyuni mengakui keserasian bersama Kelly menjadi antara sebab utama dia sentiasa berasa selesa setiap kali berada di atas pentas.
Ani berkata, sikap Kelly yang bersahaja membantu menceriakan suasana, menjadikan persembahan lebih santai dan dekat dengan penonton.
“Bila suasana terlalu tegang, penonton pun boleh rasa kekok. Kelly pula jenis santai, mudah buat orang senyum dan secara tak langsung dia hidupkan mood persembahan,” kata Ani.
Ani turut meluahkan rasa syukur kerana rezekinya terus ada sepanjang Ramadan, selain menghargai cara Kelly bekerja yang mudah dibawa berbincang dan konsisten memberi sokongan apabila mereka digandingkan.

“Kelly selalu cari saya sebelum naik pentas, tanya saya okey ke tidak dan dah bersedia atau belum. Senang nak berbincang, jadi kerja pun jadi lancar. Bila atas pentas, memang ada keserasian itu,” ujarnya.
Dalam masa sama, Ani menegaskan ketenangan dan kegembiraan dalaman penting untuk memastikan persembahan berjalan baik, walaupun tawaran besar kadangkala datang bersama tekanan.
“Ada tawaran yang nampak besar, tapi kalau buat kita tertekan dan tak gembira, persembahan pun jadi hambar. Penyanyi kena tenang dan gembira dulu, barulah penonton boleh rasa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, St Giles Boulevard Hotel bakal menawarkan Bufet Makan Malam Selera Bonda serta Pakej Bilik Eksklusif Selera Bonda yang menjanjikan pengalaman berbuka puasa dalam suasana lebih hangat dan autentik.
Suasana berbuka turut diserikan dengan persembahan khas daripada Kelly Azman dan Ani Maiyuni yang diiringi muzik secara langsung oleh kumpulan Aman and The Typewriter.






