am@hmetro.com.my
Melaka: Kegembiraan sebuah keluarga yang bercuti di bandar raya ini bertukar menjadi mimpi ngeri apabila menjadi mangsa kecurian ketika menginap di sebuah inap desa di Kota Syahbandar, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, berdasarkan laporan mangsa, kejadian dipercayai berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang pada 17 Jun lalu.
Menurutnya, suspek dipercayai mengambil kesempatan ketika penghuni tiada di dalam unit sebelum menyelinap masuk dan melarikan barang berharga termasuk wang tunai.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama ahli keluarga berada di kawasan kolam renang pangsapuri berkenaan sebelum menyedari barangan berharga mereka hilang sebaik kembali ke unit penginapan.
“Mangsa mendakwa kehilangan wang tunai, dua telefon bimbit serta dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada kesan pecah masuk atau umpil pada pintu utama unit terbabit.
“Suspek dipercayai memasuki unit melalui laluan tempat pembuangan sampah sebelum masuk menerusi pintu dapur yang didapati tidak berkunci.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 17 Jun dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Halim berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan tidak dapat mengenal pasti suspek kerana kemudahan itu hanya dipasang di kawasan lif.
Katanya, suspek dipercayai menggunakan laluan tangga bagi mengelakkan pergerakannya dirakam kamera keselamatan.
Mengulas dakwaan yang tular di media sosial mengenai seorang individu yang dirakam CCTV lif sebagai suspek kes berkenaan, Halim berkata, identiti individu terbabit belum dapat disahkan.
“Penelitian lanjut mendapati rakaman itu tidak menunjukkan individu berkenaan membawa sebarang barangan yang dilaporkan hilang dan siasatan masih diteruskan,” katanya.
Menurut beliau, polis kini giat mengesan suspek termasuk menjalankan usaha mengesan lokasi telefon bimbit yang dilaporkan hilang walaupun kedua-dua peranti berkenaan didapati sudah dimatikan sejak hari kejadian.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, kes berkenaan tular di media sosial Threads apabila dikongsikan seorang individu mendakwa kakaknya sekeluarga menjadi mangsa samun di sebuah inap desa di Kota Shahbandar.
© New Straits Times Press (M) Bhd






