'Let me go' – Diana Danielle

'Let me go' – Diana Danielle


Kuala Lumpur: Pelakon, Diana Danielle, 33, menunjukkan tanda protes dengan membakar kertas dipercayai surat diberikan suaminya, Farid Kamil, 43, yang disifatkannya sebagai penipuan. 

Diana berkata, coretan itu langsung tidak meninggalkan kesan dalam hatinya.

“Surat ‘penipuan’ tidak ada tempat dalam hati saya,” katanya ringkas sebagai pernyataan kepada videonya sedang membakar kertas itu.

Diana turut melabel Farid sebagi lelaki kejam jika berniat memanjangkan lagi kemelut yang melanda rumah tangga mereka. Baginya, peluang diberi untuk rujuk kembali setahun lalu gagal.

“Jika dia mahu panjangkan proses perceraian ini, maka dia seorang yang kejam. Saya sudah menghabiskan masa selama setahun cuba memperbaiki dan pulihkan keadaan.

“Sudah banyak kali kami berdepan dengan ambang keretakan. Jika dia mahu ikat sehingga saya terseksa sampai ke proses hakam, dia adalah kejam.

“Saya tak mahu dipujuk dan tidak mahu teruskan perkahwinan ini. Niat saya cukup jelas. Tiada lagi yang saya mahukan selain tidak berada di bawah tanggungjawab dia,” katanya.

Balasan itu dibuat susulan Farid berkongsi ucapan buat Diana sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-12, hari ini.

Farid memuat naik foto dipercayai ketika menunaikan solat sunat selepas majlis pernikahannya bersama Diana pada 2012 berserta sekeping kad ucapan.

Terdahulu, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan akan memfailkan perceraian buat kali kedua selepas setahun kembali rujuk ke pangkuan Farid.

Bagaimanapun, Diana enggan memperincikan alasan membuat keputusan nekad untuk berpisah.

Baru-baru ini, Farid mengakui berlaku perselisihan faham kecil antara mereka, sebelum Diana berkongsi kenyataan dia akan memfailkan perceraian buat kali kedua.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.

Sebelum ini, Farid dan Diana pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos secara dalam talian sebelum rujuk semula pada 31 Ogos lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top