June 24, 2024

Lumba haram, remaja antara 5 'superman' ditahan



harisfadli@hmetro.com.my

Sungai Buloh: Remaja 17 tahun antara lima ‘superman’ yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Guthrie, di sini awal pagi tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar berkata, operasi 2 pagi itu dijalankan oleh Unit Risikan/Operasi JSPT Bukit Aman.

“Tangkapan pertama membabitkan dua penunggang, manakala tiga lagi ditahan di lokasi berasingan selepas kesemua mereka dikesan melakukan aksi menunggang secara melulu dan berbahaya.

“Polis menyita motosikal mereka jenis Yamaha Y15ZR, Yamaha 135LC, Yamaha Lagenda serta SYM VF3I,” katanya pada Sabtu.

Menurutnya, kesemua lelaki berusia lingkungan 17 ke 23 tahun yang menetap di sekitar Lembah Klang dipercayai tidak terbabit mana-mana kumpulan motosikal, sebaliknya hanya berlumba sesama mereka.

Katanya, mereka dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Operasi itu memeriksa 25 individu dan mengeluarkan 44 saman atas pelbagai kesalahan seperti nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, tiada cermin sisi, ekzos bising, tiada lesen memandu serta ubah suai struktur.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top