May 24, 2024

Malaysia negara pertama terima visa haji


Kuala Lumpur: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024 ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kejayaan itu susulan persiapan awal dilaksanakan Tabung Haji (TH) dalam pelbagai aspek.

“Dengan adanya keupayaan daripada sudut komitmen warga kerja dan sistem sedia ada, apabila permohonan visa dibuka kita yang pertama sekali uruskan dengan cepat, itu asasnya dan sudah tentu melalui perjanjian yang kita uruskan daripada awal maka ia menjadi lebih mudah.

“Jadi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada TH atas kecepatan agensi kita ini sehingga berjaya mendapatkan visa awal daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sesi pemprosesan visa dan pasport jemaah haji di Menara Tabung Haji di sini malam ini.

Dalam pada itu Mohd Na’im berkata beliau turun padang untuk menyantuni dan melihat gerak kerja warga TH termasuk kakitangan sambilan yang dilantik dalam urusan pemprosesan visa.

“Alhamdulillah, saya sempat bertemu dengan mereka, memberi semangat dan mengucapkan jutaan terima kasih kerana bantu TH. Mereka sangat penting kerana visa ini kalau tidak dapat, maka jemaah kita tidak boleh ke tanah suci,” katanya.

Turut hadir Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Terdahulu Na’im dalam sesi kunjungan itu turut mengedarkan pek makanan kepada petugas-petugas TH.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top