Manifesto PN demi rakyat Kuala Kubu Baharu

Manifesto PN demi rakyat Kuala Kubu Baharu



khairil.ashraf@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut mengumumkan lima teras utama dalam manifestonya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu.

Ketika membentangkannya hari ini, Khairul Azhari berkata, manifesto itu bertemakan ‘Demi Rakyat Kuala Kubu Baharu, Khairul Komited Berkhidmat’ dengan teras pertama adalah menuntut pembangunan berkualiti dan mampan.

“Menerusi teras pertama ini, saya mahu merancakkan pembangunan infrastruktur dan prasarana asas masyarakat dengan menjadi suara dan jambatan rakyat.

“Kita adalah jambatan kepada rakyat. Setiap aduan akan diterima terutama rakyat setempat,” katanya hari ini.

Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor itu berkata, bagi teras kedua, beliau dan pasukannya menyediakan ‘blueprint’ iaitu menjamin kelestarian alam dan persekitaran hijau.

“Sebagai orang yang mewakili Kuala Kubu Baharu, saya perlu mengekalkan kelestarian dan kehijauan untuk masa depan baik, untuk negara,” katanya.

Teras ketiga katanya, adalah memperkasa ekonomi setempat dengan membangunkan sebuah pusat khidmat untuk menjadi penghubung dan pemain industri.

“Melalui teras ketiga ini, kita akan menyediakan sebuah platform dalam talian untuk mempromosi dan menjadi ejen pemasaran produk tempatan,” katanya.

Khairul Azhari berkata, teras keempat dalam manifestonya adalah menggembleng potensi generasi muda dan wanita progresif.

“Ia melalui menaik taraf kemudahan sukan, rekreasi dan fasiliti awam. Kita juga mahu melipatgandakan program pemerkasaan anak muda dan wanita khususnya dalam bidang sukan dan sosioekonomi,” katanya.

Menurutnya, teras kelima adalah dengan membela masyarakat minoriti, antaranya mengiktiraf perkampungan orang asli dan dimartabatkan dengan kemudahan asas berkualiti.

Beliau juga mengulas sebab manifesto itu diumum lewat, antaranya kerana mengutamakan program menyantuni masyarakat.

“Kita nak pastikan manifesto ini ada kena mengena dengan keluhan rakyat di bawah. Bukannya kita syok sendiri buat manifesto tetapi tak boleh melakukannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top