Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik menegaskan beliau tidak gentar berkempen di mana-mana pusat daerah mengundi (PDM), termasuk kawasan yang dianggap sukar dikuasai parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
PH tak pernah bezakan mana-mana PDM
Memetik laporan daripada Harian Metro, Maszlee menyatakan sepanjang tempoh berkempen, PH tidak pernah membezakan mana-mana PDM sama ada dikategorikan sebagai kawasan putih, hitam atau kelabu kerana matlamat utama adalah bertemu rakyat serta mendengar sendiri keluhan mereka.
“Kita tidak membezakan putih, hitam, kelabu, kuning dan sebagainya. Kita bawa suara rakyat dan dengar keluh kesah mereka.
“Setakat ini tumpuan kita adalah mengajak rakyat turun mengundi serta mengajak mereka yang berada di luar, di Kuala Lumpur atau Singapura pulang mengundi PH,” katanya ketika ditemui media selepas berkempen di sekitar Taman Setia Indah.

Seminggu berkempen, terima banyak aduan
DUN Puteri Wangsa menjadi antara kerusi tumpuan pada PRN Johor kali ini apabila menyaksikan saingan lima penjuru melibatkan Maszlee, calon Barisan Nasional (BN) Teow Chia Ling, Nicholas Paul Vincent (BERSAMA), Wang Wee Siong (Bebas) serta Rashifa Aljunied daripada MUDA.
Mengulas mengenai kempen yang berlangsung sepanjang seminggu lalu, Maszlee berkata beliau menerima pelbagai aduan daripada penduduk berkaitan isu setempat yang memerlukan penyelesaian di peringkat tempatan dan negeri.
“Terdapat isu yang berbeza-beza, maka kita kena selesaikan secara mikro dan secara holistik. Secara holistik, saya lihat Johor secara keseluruhan, ada isu boleh diselesaikan secara mikro atau peringkat lokal.
“Tapi banyak isu membabitkan kerajaan negeri yang memerlukan penyelesaian dengan kerajaan pusat seperti kerja di lebuh raya yang memerlukan kerjasama dengan JKR (Jabatan Kerja Raya). Maka, kerajaan negeri yang seiring dengan pusat akan mempunyai daya penyelesaian lebih luas,” katanya.
PH berhasrat baiki sistem penyaluran bantuan
Pada masa sama, beliau berkata PH berhasrat memperbaiki sistem penyaluran bantuan sekiranya diberi mandat mentadbir Johor agar rakyat tidak lagi perlu beratur panjang untuk mendapatkan bantuan kerajaan.
“Tidak mahu ayah, pakcik terpaksa beratur panjang untuk dapat RM200, sedangkan mereka janji RM500. Itu salah satu kegagalan manifesto BN. Bagi kami di PH, kita akan perbaiki, tak akan biarkan orang beratur di bawah panas untuk menerima bantuan.
“Kita akan pastikan mereka menerima langsung ke dalam akaun (bank) kerana rakyat mempunyai maruah. Bagi PH, rakyat adalah golongan yang ada maruah, ada muka dan harga diri. Kita hormati rakyat dan tidak mahu rakyat beratur panjang untuk menerima bantuan,” katanya.

Sumber: Harian Metro (Mohd Nasaruddin Parzi)






