MCCF cadangkan pendaftaran kad SIM dibuat secara biometrik

MCCF cadangkan  pendaftaran kad SIM dibuat secara biometrik


mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) memandang serius peningkatan kegiatan judi dalam talian yang dilihat semakin berleluasa terutama melalui penggunaan kad SIM didaftarkan atas nama individu lain secara pukal.

Pengerusi MCCF Datuk Seri Halim Ishak berkata, tindakan sindiket ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan data peribadi rakyat malah menyukarkan penguatkuasaan undang-undang.

Menurutnya, MCCF menggesa pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, syarikat telekomunikasi serta Polis Diraja Malaysia untuk mengambil langkah proaktif dan menyeluruh dalam membendung masalah ini.

“MCCF mencadangkan supaya pendaftaran kad SIM secara biometrik melalui pengesahan cap jari atau pengecaman wajah.

“Proses ini dapat mengelakkan pendaftaran palsu dan penyalahgunaan data peribadi selain menyokong penetapan had bilangan kad SIM yang boleh dimiliki oleh individu, contohnya maksimum tiga kad aktif bagi setiap pemilik bagi kegunaan peribadi,” katanya.

Beliau berkata, pusat jualan perlu melalui audit berkala bagi memastikan tiada penjualan kad SIM secara pukal kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Lesen ejen telco yang melanggar peraturan wajar dibekukan atau ditarik balik dan lembaga pengarah syarikatnya disenarai hitamkan.

“Selain itu, wujudkan pangkalan data bersepadu bagi mengesan kad SIM yang disyaki digunakan untuk jenayah siber khususnya judi dalam talian,” katanya.

Menurutnya, pengaktifan sistem sekatan automatik terhadap nombor yang dikenal pasti terbabit dalam aktiviti haram juga perlu dilakukan.

“Rakyat diseru agar tidak menyerahkan salinan kad pengenalan kepada pihak tidak dikenali dan segera membuat laporan jika mendapati nama mereka disalahgunakan.

“Kita juga menggesa kerajaan memperkenalkan hukuman lebih berat terhadap pemilik kad SIM yang menjual atau meminjamkan kad mereka kepada sindiket termasuk pusat jualan yang terlibat secara langsung dalam kegiatan penyalahgunaan pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata, isu ini satu bentuk ancaman keselamatan nasional kerana ia bukan sahaja berkaitan jenayah siber malah berupaya membuka ruang kepada aktiviti pemerdagangan manusia, penipuan kewangan dan pengubahan wang haram.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top