July 27, 2024

Mengapa UM culas benarkan Bruce Gilley beri syarahan? – Dr Akmal

Mengapa UM culas benarkan Bruce Gilley beri syarahan? – Dr Akmal


KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia (UM) wajib memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia mengapa begitu culas sehingga Profesor Pro-Zionis, Bruce Gilley terlepas dan dibenarkan memberi syarahan di universiti itu.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, tindakan menjemput Gilley adalah amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.

Jelas beliau, seharusnya UM lebih teliti mengenal pasti latar belakang individu yang dijemput.

Tegasnya, insiden ini telah mencemarkan nama baik UM sebagai gedung ilmu tersohor tanah air dan mencalarkan imej Malaysia dalam posisi negara terhadap Israel serta pembelaan Palestin.

Oleh itu, katanya, satu penjelasan yang tuntas harus diberikan oleh pihak UM kepada seluruh rakyat Malaysia.

Beliau turut menggesa supaya individu ini diharamkan dari masuk ke Malaysia.

“Wisma Putra wajar menggesa Kedutaan Amerika Syarikat tampil memberi penjelasan dan memohon maaf kepada rakyat serta Kerajaan Malaysia di atas ciapan Profesor yang berwarganegara AS di platform X bahawa: “Malaysia not safe for travel now” dan;
“A country whose political leaders advocate a second Holocaust against the Jewish people will never be a serious player in world affairs and will certainly never be a friend or partner of the US”.

Menurut Dr Akmal, Malaysia harus memberi mesej dan pengajaran yang tegas dengan mengharamkan individu ini dari memasuki Malaysia di masa hadapan supaya kita tidak mudah dipermainkan dan diperkotak-katikkan.

UM menerima kecaman hebat orang awam kerana membenarkan ahli akademik itu menyebarkan propaganda zionis dan menuduh ahli politik pro-Palestin di Malaysia menyebarkan kebencian terhadap orang Yahudi ketika memberikan ucaptama di sebuah program anjurannya di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top