Miki (kiri) tumpas kepada Hanaoka dalam saingan Rise World Series 2025 di Yokohama pada Sabtu. Foto Instagram Miki Ghazali.
JAGUH muda negara, Miki Ghazali memperagakan semangat juang tinggi sebelum terpaksa akur tewas di tangan petarung Jepun, Ryu Hanaoka dalam saingan Rise World Series 2025 di Yokohama sebentar tadi.
Pertarungan tersebut dilihat sebagai mencabar buat Miki yang bukan petarung pilihan berbanding Hanaoka yang berstatus juara Knock Out (KO) Black Super Flyweight.
Di sebalik statusnya sebagai petarung muda, Miki dilihat tidak gentar, sebaliknya berjaya memberi saingan sengit kepada Hanaoka sepanjang tiga pusingan saingan tersebut.
Malah, ketika juri mengisytiharkan kemenangan milik jaguh Jepun itu, riak wajah Hanaoka bagai hilang tenaga semasa tangannya diangkat oleh pengadil.
Sebagai rekod, petinju berusia 16 tahun itu pernah melakar kejutan dengan menewaskan lawan yang lebih senior dan berpengalaman.
Miki pernah mengalahkan jaguh Maghribi, Said El Matador dalam aksi Wilayah Pahlawan International Championship pada Februari lalu.
Biarpun kalah, Miki yang juga adik kepada jaguh muay thai negara, Johan Ghazali dilihat terus membuktikan dirinya memiliki potensi besar dalam arena muay thai pada masa depan.