Mitra-GrabFin perkenal Pembiayaan Umrah untuk pemandu Grab

Mitra-GrabFin perkenal Pembiayaan Umrah untuk pemandu Grab


KUALA LUMPUR – Agensi pelancongan, Mitra Kembara Sdn Bhd dengan kerjasama GrabFin Malaysia memperkenalkan Pembiayaan Umrah kepada rakan pemandu Grab yang beragama Islam untuk menunaikan ibadah umrah.

Pengarah Urusan Kumpulan Mitra, Dr. Fazil Khan Abdul Kadir berkata, ia bagi memastikan kos kewangan tidak menghalang semua lapisan masyarakat untuk menunaikan ibadah umrah tanpa mengira status sosial dan pendapatan.

“Ini adalah perkongsian strategik ini sejajar dengan misi syarikat untuk menyediakan pakej mampu milik ke Tanah Suci untuk jemaah umrah.

“Kami berusaha gigih untuk menyesuaikan pelbagai pakej untuk memenuhi pelbagai keperluan semua umat Islam.

“Kami amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Grab Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan ini agar rakan pemandu mereka dapat menunaikan kewajiban agama dengan pakej kos berpatutan,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, Mitra Kembara dan GrabFin Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) untuk menawarkan Pembiayaan Umrah bagi memudahkan rakan pemandu Grab beragama Islam menunaikan ibadah itu.

Pakej Umrah untuk rakan pemandu Grab merupakan pakej 12 hari 10 malam, merangkumi penginapan, hidangan lengkap, tiket penerbangan ekonomi melalui Saudia Airlines, Emirates, Etihad, Qatar, Malaysia Airlines, Turkish Airlines, Air Arabia, Salam Air atau Air Asia, dan Visa Umrah.

Selain itu, rakan pemandu Grab juga akan menerima hadiah istimewa daripada Mitra Kembara iaitu set bagasi dengan tag, buku panduan persiapan umrah, lanyard serta kad sim Arab Saudi untuk melengkapi persiapan ibadah mereka.

Pembiayaan umrah itu diperkenalkan selepas Cabaran Ramadan-UmrahGrab yang dianjurkan baru-baru ini, yang mana Grab Malaysia menawarkan pengguna dan komuniti rakan pemandu serta penghantar peluang memenangi pakej perjalanan umrah yang ditaja sepenuhnya.

Sementara itu, GrabFin Malaysia pula akan bekerjasama dengan Sedania untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kewangan ibadah umrah kepada rakan pemandu Grab.

“Sedania akan menawarkan elaun sebanyak RM300 kepada kumpulan pertama rakan pemandu Grab yang membuat permohonan pembiayaan umrah sepanjang tempoh perjalanan antara Ogos dan November 2024.

“Elaun ini bertujuan untuk membantu menampung sebahagian perbelanjaan yang berkaitan perjalanan ibadah mereka di Tanah Suci.

GrabFin Malaysia akan memulakan pelancaran awal Pembiayaan Umrah pada 3 April 2024 dengan tempoh perjalanan pertama bermula di Ogos dan November 2024.

Rakan pemandu yang layak di bawah 75 tahun akan menerima maklumat tentang pakej pembiayaan dengan pautan untuk memohon dengan mudah, tanpa memerlukan dokumen atau cagaran. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top