May 20, 2024

Niaga hadapan MSM dijangka lengang


KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka mengalami dagangan lengang minggu depan menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri, kata peniaga minyak sawit kanan Interband Group of Companies Jim Teh.

Menurutnya, pasaran mungkin menyaksikan aktiviti pengambilan untung selepas cuti panjang dengan harga dijangka bergerak antara RM3,800 dan RM3,900 satu tan.

“Selain itu, banyak peniaga minyak sawit tempatan dan antarabangsa dijangka bercuti selama seminggu,” katanya kepada Bernama.

Peniaga minyak sawit David Ng menjangka pasaran diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan berikutan minggu dagangan yang lebih singkat di tengah-tengah cuti Aidilfitri.

Bagi asas mingguan, kontrak bulan semerta April 2024 meningkat RM239 kepada RM4,564 satu tan, Mei 2024 naik RM157 kepada RM4,423 satu tan, Jun 2024 menambah RM149 kepada RM4,343 satu tan, Julai 2024 naik RM164 kepada RM4,273 satu tan, Ogos 2024 menokok RM169 kepada RM4,198 satu tan dan September 2024 menokok RM163 kepada RM4,134 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 418,684 lot daripada 153,796 lot minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka turun kepada 268,274 kontrak daripada 284,711 kontrak pada minggu sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan meningkat RM210 kepada RM4,570 satu tan daripada RM4,360 satu tan pada minggu sebelumnya. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top