RHB unjur KDNK negara kekal 4.6% tahun ini

RHB unjur KDNK negara kekal 4.6% tahun ini


KUALA LUMPUR – RHB Research menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal pada 4.6 peratus tahun ke tahun pada 2024 berbanding dengan unjuran julat secara rasmi pada 4.0-5.0 peratus.

Firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikan hari ini berkata, momentum pertumbuhan dijangka meningkat pada separuh pertama 2024 seperti yang diperlihatkan oleh indeks utama kompositnya bagi Malaysia.

“Data terkini menunjukkan keyakinan domestik telah menunjukkan isyarat peningkatan. Tiga proksi utama khususnya Indeks Pengurus Pembelian (PMI) lebih tinggi; import barang modal dan pertengahan yang bertambah; dan keyakinan perniagaan yang meningkat, menunjukkan sikap optimis pengilang dan perniagaan yang semakin baik.

“Melangkah ke hadapan, pertumbuhan KDNK akan disokong oleh pemulihan prestasi perdagangan dan permintaan domestik yang kukuh.

“Pengukuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) dan momentum eksport pada awal tahun memperkuat pandangan positif kami terhadap prospek permintaan luar,” katanya.

Mengenai risiko penurunan, RHB Research berkata ia mengakui faktor berlawanan, dengan kesan melemahkan mungkin berpunca daripada pengurangan subsidi dan semakan semula langkah cukai penggunaan, yang mengehadkan perbelanjaan pengguna dan pendapatan boleh guna daripada perspektif kesan kekayaan.

Bagaimanapun, katanya impak berkenaan akan diimbangi oleh situasi baik dalam permintaan buruh; pelanjutan bantuan sosial kepada kumpulan sasaran; dan kesan berbeza melibatkan kumpulan pendapatan dengan kumpulan berpendapatan tinggi mempunyai permintaan yang tidak anjal.

RHB Research berkata, perbelanjaan pelaburan pula diunjurkan kekal teguh pada 2024.

Menurutnya pelaburan swasta akan didorong oleh pengembangan kapasiti dan dasar mesra perniagaan, manakala aktiviti pelaburan awam dijangka disokong oleh kemajuan yang berterusan dalam projek berbilang tahun dan pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional.

“Pasaran buruh kekal teguh dengan penciptaan pekerjaan yang baik dalam persekitaran pengembangan aktiviti ekonomi. Kadar pengangguran pula dijangka stabil pada kadar purata 3.3 peratus.

“Indeks keyakinan pengguna dan perniagaan telah meningkat pada akhir 2023, menandakan  perbelanjaan runcit dan perniagaan yang mungkin lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Selaras dengan penambahbaikan dalam landskap ekonomi global dan kerancakan semula kitaran teknologi global, firma penyelidikan itu berkata eksport Malaysia dijangka meraih manfaat daripada pertumbuhan eksport elektrik dan elektronik dan berasaskan komoditi.

Momentum eksport dijangka teguh pada separuh pertama 2024, disokong oleh prospek ekonomi global dan serantau yang lebih cerah; dinamik ekonomi China yang mengukuh; dan aliran menaik dalam kitaran teknologi global.

“Kami mengekalkan unjuran inflasi keseluruhan 2024 pada 3.3 peratus. Momentum inflasi dijangka meningkat pada suku kedua 2024 berikutan pelarasan cukai perkhidmatan pada Mac dan jangkaan pelancaran rasionalisasi subsidi diesel pada suku yang sama,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata momentum inflasi masih tenang setakat ini, disokong oleh harga makanan yang stabil di tengah-tengah kesinambungan subsidi makanan dan kawalan harga bagi barangan makanan ruji.

“Ramalan imbangan akaun semasa kami bagi 2024 adalah 2.3 peratus daripada KDNK berbanding 1.2 peratus daripada KDNK pada 2023. Lebihan barangan dijangka meningkat berikutan eksport yang tinggi, seiring dengan kekukuhan permintaan luar,” katanya.

“Kami juga mengunjurkan aliran keluar yang lebih kecil dalam akaun perkhidmatan, didorong terutamanya oleh pendapatan lebih tinggi daripada terimaan aktiviti pelancongan dan aktiviti pengangkutan. Terimaan pelancongan dijangka meningkat dengan ketibaan pelancong yang lebih tinggi dan perbelanjaan per kapita,” katanya.

RHB Research turut mengekalkan unjuran defisit fiskal 2024 pada 4.3 peratus daripada KDNK.

Katanya memandangkan perbelanjaan mengurus (OE) menyumbang lebih 95 peratus daripada hasil kerajaan pusat, penggunaan strategi konsolidasi fiskal serampang dua mata, kepelbagaian hasil dan rasionalisasi OE adalah perlu untuk mengawal defisit fiskal.

“Kami mendapati kutipan hasil yang lebih tinggi akan dapat dicapai pada 2024, disokong oleh hasil kutipan cukai syarikat dan individu yang lebih tinggi di tengah-tengah prospek ekonomi yang meningkat dan asas cukai yang lebih luas selain kecekapan kutipan cukai semakin baik.

“Semakan semula cukai perkhidmatan berpotensi meningkatkan hasil kerajaan sebanyak RM3 bilion. Mengenai rasionalisasi OE, kerajaan kini dalam peringkat permulaan untuk rasionalisasi subsidi bahan api secara berperingkat, berikutan rasionalisasi tarif elektrik dan air sebelum ini,” katanya.

Menurutnya Kadar Dasar Semalaman (OPR) pula mungkin dikekalkan pada 3.00 peratus untuk 2024.

“Kami mendapati kurangnya rangsangan untuk Bank Negara Malaysia (BNM) menyesuaikan tahap kadar dasarnya pada 2024, memandangkan prospek ekonomi domestik yang lebih menggalakkan di tengah-tengah ketidaktentuan trajektori inflasi.

“Julat inflasi secara rasmi yang meluas iaitu 2.0 hingga 3.5 peratus sewajarnya memberi ruang mencukupi terhadap pergerakan harga pada masa hadapan. Penggubal dasar mungkin mengekalkan kadar OPR sambil menilai kesan yang ditinggalkan daripada perubahan dasar fiskal ke atas trajektori inflasi dan momentum ekonomi keseluruhan,” katanya. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top