Mohamed Khaled adakan mesyuarat trilateral, persediaan GBC Kemboja-Thailand

Mohamed Khaled adakan mesyuarat trilateral, persediaan GBC Kemboja-Thailand


hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan mesyuarat trilateral bersama rakan sejawatnya dari Kemboja dan Thailand, hari ini sebelum mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara kedua-dua negara itu pada 7 Ogos ini.

Mohamed Khaled berkata, mesyuarat itu diadakan bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit melalui persidangan video.

Turut bersama adalah Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertahanan Malaysia Mohd Yani Daud.

Menurut Mohamed Khaled, mesyuarat itu adalah langkah penting dalam persiapan menghadapi mesyuarat General Border Committee (GBC) Kemboja-Thailand yang dijadualkan pada 7 Ogos di Kuala Lumpur.

“Dengan semangat ASEAN, Malaysia komited sepenuhnya untuk menyokong proses penyelesaian yang dipimpin oleh ASEAN secara aman selaras dengan nilai serantau yang kita kongsi bersama.

“Mesyuarat pada 7 Ogos akan turut disertai oleh pemerhati dari Malaysia, Amerika Syarikat, dan Republik Rakyat China (PRC). Sebelum GBC, wakil dari kedua-dua negara akan mengadakan mesyuarat awal dari 4 hingga 6 Ogos,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, malam ini.

Beliau berkata, perbincangan itu menggambarkan komitmen pihak-pihak untuk berunding secara aman dan dialog yang konstruktif.

“Semoga ia menyumbang ke arah tanggungjawab bersama kita untuk memelihara keamanan dan kestabilan di rantau ASEAN.

“Malaysia bersedia untuk memastikan kelancaran dan menyokong setiap langkah proses aman ini secara neutral,” katanya dalam hantaran itu.

Terdahulu media melaporkan, mesyuarat GBC itu diadakan bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan antara dua negara, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Malaysia pada 28 Julai lalu.

Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada tengah malam, 28 Julai, dicapai menerusi mesyuarat khas di Malaysia, yang membawa kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu ke meja rundingan di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak.

Mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, menyaksikan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bersama-sama bersetuju terhadap perjanjian gencatan senjata selepas beberapa minggu ketegangan meningkat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top