Hanya sekadar gurauan dan tidak membawa sebarang maksud tersirat, penyanyi dan pelakon terkenal Erra Fazira tampil menjelaskan mengenai perkongsian foto buah zuriat oleh suaminya, Ezwan Zain atau Mr E ketika menunaikan ibadah umrah, baru-baru ini.

Menurut Primadona Filem Melayu ini, dia secara peribadi tidak pernah merancang untuk kembali hamil, namun tetap menyerahkan segala ketentuan kepada Allah.
“Ezwan memang suka bergurau. Saya pun tak tahu itu buah zuriat. Jadi saya anggap ia sekadar gurauan sahaja,” katanya.
Erra turut memaklumkan isu mengenai cahaya mata telah dibincangkan secara terbuka sebelum mereka mendirikan rumah tangga, mengambil kira faktor usianya yang kini mencecah 52 tahun.
“Saya memang dah set dalam fikiran yang ia tidak sesuai untuk saya hamil. Kalau Allah berkehendak, kita tak boleh menolak. Tapi sejak awal kami berbincang, kalau dia nak anak, dia kena kahwin dengan orang muda,” ujarnya berseloroh.
Tambah Erra, mereka selesa menjalani kehidupan berumah tangga tanpa sebarang perancangan untuk menambah ahli keluarga kerana masing-masing sudah mempunyai anak.
“Kami memang tidak merancang ke arah itu. Faktor usia juga memainkan peranan besar. Kami mahu teruskan kehidupan dengan apa yang ada sekarang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Erra berkata faktor kesihatan dan nasihat doktor turut menjadi pertimbangan utama.
“Kalau ada rezeki saya tak tolak, tapi saya tahu 80 peratus perkara itu tidak akan berlaku. Doktor pun menasihati lebih baik saya tidak hamil atas faktor usia,” katanya.

Sebelum ini, Ezwan mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen apabila memuat naik foto memegang gambar buah zuriat di Instagram, sekali gus mengundang pelbagai andaian pasangan itu bakal menimang cahaya mata.
Erra berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pembukaan rasmi Cluck’n Cone, sebuah jenama makanan dan minuman (F&B) berkonsepkan ayam goreng dalam bentuk kon, yang berlangsung di Jalan Changkat, Bukit Bintang, sebentar tadi.

Menurut Pengurus Besar Cluck’n Cone Malaysia, Syahmi Rezali pembukaan outlet pertama ini merupakan langkah strategik untuk memperkenalkan pengalaman menikmati ayam goreng berkualiti tinggi dengan penyampaian yang lebih moden, praktikal dan inovatif.
“Cluck’n Cone adalah jenama Malaysia dan milik seratus peratus Muslim adalah hidangan ayam goreng yang mengetengahkan konsep ‘grab-and-go’ yang sesuai dengan gaya hidup pantas masyarakat bandar, tanpa menjejaskan kualiti dan rasa. Kami menggunakan resipi istimewa serta bahan premium bagi memastikan setiap hidangan memberikan pengalaman yang unik kepada pelanggan,” menurutnya.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Erra dan Ezwan selaku tetamu kehormat, sekali gus menandakan pelancaran rasmi Cluck’n Cone sebagai jenama baharu yang menyasarkan gaya hidup urban dan generasi muda.






