BEKAS pertahanan Manchester United, Paul Parker melemparkan kritikan pedas terhadap kelab itu kerana masih bergantung kepada Harry Maguire, dengan mendakwa The Red Devils tidak akan mencapai kemajuan sekiranya pemain berusia 33 tahun itu kekal sebagai pilihan utama.
Walaupun Maguire baru-baru ini menandatangani kontrak jangka panjang baharu di bawah kendalian Michael Carrick, Parker menegaskan pasukan itu amat memerlukan pilihan bek tengah yang lebih segar dan pantas untuk benar-benar mencabar kejuaraan utama.
Parker memberikan penilaian skeptikal terhadap barisan pertahanan semasa United walaupun prestasi pasukan menunjukkan peningkatan baru-baru.
Pemain antarabangsa England itu sebelum ini menandatangani kontrak baharu yang mengekalkannya di Old Trafford sehingga 2027, dengan pilihan lanjutan setahun lagi sebagai ganjaran atas prestasinya sejak Carrick mengambil alih kerusi pengurus.
Bagaimanapun, Parker tetap tidak yakin dengan nilai jangka panjang Maguire dan mendesak kelab supaya melabur kepada pemain yang lebih pantas dan dinamik.
“Beliau (Maguire) mendapat lebih banyak perlawanan, tetapi beliau bermain di sebelah Ayden Heaven dan dia bukanlah seorang pemimpin di atas padang.
“Saya rasa beliau berhak mendapat kontrak itu atas sebab-sebab tertentu kerana prestasinya ok. Namun, jika anda mahu maju, anda tidak akan bergerak ke depan dengan Harry Maguire. Jadi, anda perlu keluar dan cari bek tengah yang lain,” katanya.
Kepentingan Maguire musim ini berubah secara drastik. Di bawah kendalian bekas pengurus, Ruben Amorim, beliau seakan dipinggirkan dan lebih banyak memanaskan bangku simpanan sebelum dihimpit kecederaan paha yang serius.
Namun, sejak ketibaan Carrick, Maguire dilihat kembali bernyawa. Sejak kembali dalam kesebelasan utama menentang Manchester City pada pertengahan Januari lalu, beliau kerap beraksi penuh dan hanya terlepas perlawanan menentang Leeds serta Chelsea akibat penggantungan.
Dalam masa sama, Parker turut memuji sensasi remaja, Ayden Heaven yang menunjukkan kematangan selepas kecederaan jangka panjang Matthijs de Ligt dan penggantungan Lisandro Martinez.
“Anda sudah mempunyai Martinez dan Yoro di sana. Anda tidak memerlukan ‘pemain veteran’ yang hanya sekadar berada di situ. Bagi saya, United tidak akan maju dengan adanya Maguire dalam pasukan,” tambahnya lagi.
Menjelang jendela perpindahan musim panas ini, Carrick kini berdepan keputusan sukar sama ada mahu terus mempercayai pengalaman Maguire atau mengejar sasaran lebih murah dan pantas seperti Marcos Senesi (Bournemouth) atau Murillo (Nottingham Forest) seperti yang disarankan oleh ramai pihak.






