‘Idea lapuk, kitar semula’ – Zainal Abidin

‘Idea lapuk, kitar semula’ – Zainal Abidin


LEGENDA bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan menyifatkan cadangan-cadangan yang diutarakan dalam sesi meja bulat baru-baru ini sekadar mengulang idea lama dan tidak membawa suntikan pembaharuan yang nyata buat industri bola sepak tempatan.

Zainal Abidin yang juga bekas penggempur berbisa skuad Gergasi Merah itu menegaskan, cadangan yang turut disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon sebenarnya sudah lama berlegar dalam ekosistem bola sepak negara tanpa pelaksanaan yang konkrit.

Menurutnya, isu-isu seperti penubuhan badan pengadil bebas, perbincangan membawa kes ke CAS serta cadangan perwakilan kelab dalam Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bukanlah perkara asing.

“Tanpa garis masa pelaksanaan yang jelas, cadangan-cadangan ini hanya akan menjadi ‘suara sumbang’ yang tidak memberi nilai tambah kepada integriti atau daya saing liga kita,” katanya.

Mengulas mengenai isu pemain warisan dan naturalisasi yang turut dibangkitkan dalam sesi meja bulat itu, Zainal Abidin menganggap tindakan meletakkan perkara itu sebagai masalah utama adalah sesuatu yang mengelirukan.

Tegasnya, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) sudah pun menerima status pemain berkenaan dalam pertandingan peringkat kelab.

“Perkara ini berkaitan dengan proses rasmi kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Ia bukan isu bola sepak yang perlu dipolemikkan sehingga mengalih fokus daripada masalah sebenar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, sebagai individu yang pernah mengecapi zaman kegemilangan bersama Selangor, beliau memahami denyut nadi penyokong Merah Kuning yang kini dahagakan kejayaan.

“Penyokong bukan mahu debat dan retorik. Mereka mahu kemenangan, kebanggaan dan prestasi yang konsisten di atas padang. Mereka mahu melihat Selangor bertarung dan kembali ke tangga teratas liga.

“Contohnya Kuching City membuktikan bahawa kelab dengan perancangan jelas mampu berjaya. Lihat sahaja bagaimana mereka mendaki dari liga bawahan sehingga mampu bersaing di Liga Super.

“Malah, kejayaan mereka mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama dalam sejarah kelab serta melangkah ke separuh akhir Piala FA pada musim ini (2026) adalah bukti disiplin badan kejurulatihan dan konsistensi prestasi tanpa perlu terganggu dengan hal luar padang.

“Sekiranya Selangor dan liga tempatan mahu benar-benar maju, fokus utama perlu dikembalikan kepada pembinaan asas yang kukuh serta perancangan jangka panjang.

“Fokus pada prestasi kompetitif, bukan sekadar debat tanpa arah,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top