am@hmetro.com.my
Tawau: Program MySaveFood Ramadan yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencatat kejayaan besar apabila berjaya menyelamatkan 52,869.5 kg makanan bernilai RM644,332.18 dalam tempoh 20 hari operasi di 123 bazar seluruh negara.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh berkata kejayaan itu memperlihatkan komitmen tinggi kerajaan selain membuktikan keberkesanan usaha KPDN dalam menangani pembaziran makanan sepanjang Ramadan.
Beliau berkata Program MySaveFood bukan sahaja membantu menyelamatkan lebihan makanan daripada dibuang, tetapi memastikan makanan itu diagihkan kepada golongan memerlukan.
“Di seluruh negara program MySavefood ini berjaya menyelamatkan 57,991.1 kg manakala di Tawau sahaja lebih 400 kg lebihan makanan dan minuman daripada Bazar Ramadan berjaya diselamatkan.
“Berbanding tahun lalu program ini berjaya menyelamatkan lebih 60,000 kg makanan dan minuman manakala tahun ini kita menjangkakan akan mencatat jumlah yang lebih tinggi dengan Ramadan berbaki sepuluh hari lagi,” katanya pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) di Bazar Sabindo Plaza di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, pelaksanaan PJRM dan BRR di Sabah antara inisiatif kerajaan memperkukuh usaha memperkasa ekonomi rakyat.
Menurutnya, tiga objektif utama pelaksanaan program itu adalah memperkasa peniaga dan pengguna melalui menu RAHMAH dan digitalisasi, menangani pembaziran makanan, dan memperkukuh penguatkuasaan bagi melindungi pengguna.
“Sebanyak 2,063 peniaga di seluruh negara sudah menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah termasuk 122 peniaga di 13 lokasi BRR di Sabah setakat ini.
“Selain itu, pengenalan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) di bawah BRR 2025 juga telah memberi manfaat kepada 159,720 pengguna menerusi insentif e-dompet RM20, yang dijangka terus meningkat menjelang akhir Ramadan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd