am@hmetro.com.my
Baling: Seorang lelaki ditahan polis dipercayai menikam nenek sehingga maut serta menetak moyangnya hingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian di di sebuah rumah Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil, di sini, lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, kaunter Balai Polis Malau menerima makluman pada jam 7 malam daripada orang awam berhubung kejadian tikam dan tetak dua individu dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 petang.
Beliau berkata, dua mangsa terbabit adalah wanita warga emas berusia 60-an dan 80-an.
“Mangsa yang meninggal dunia berusia 60-an mempunyai kesan tikaman di bahagian belakang badan manakala mangsa yang cedera berusia 80-an mempunyai kesan tikama di belakang leher.
“Mangsa yang meninggal dunia itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan, ” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, awal pagi hari ini.
Brandon berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini dan setakat ini suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.
“Suspek ditahan untuk membantu siasatan dan akan direman pagi esok (hari ini) di Mahkamah Baling, ” katanya.
Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati, sepasukan anggota dari Unit Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan pemeriksaan di lokasi untuk mencari bahan bukti bagi membantu siasatan.
Selain itu, anjing dari Unit K-9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda turut dibawa ke lokasi untuk membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






