am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Filem animasi tempatan terbitan Monsta dengan kerjasama Astro Shaw iaitu Papa Zola The Movie terus melakar sejarah apabila berjaya meraih kutipan RM50 juta hanya dalam tempoh 22 hari tayangan di seluruh pawagam Malaysia dan Brunei.
Dalam tempoh yang sama, filem ini turut mencatat kehadiran lebih tiga juta penonton, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai filem tempatan yang mendapat sambutan dengan kehadiran penonton dari segenap generasi bermula kanak-kanak, remaja, ibu bapa serta warga emas yang hadir menonton bersama keluarga.
Mengukuhkan lagi pencapaian itu, Papa Zola The Movie kekal menduduki carta nombor satu di pawagam selama 22 hari berturut-turut, iaitu satu prestasi luar biasa meskipun berdepan persaingan filem antarabangsa berskala besar.
Walaupun memasuki minggu ketiga tayangan, momentum filem ini masih kekal kukuh dengan kehadiran penonton yang konsisten dari hari ke hari dan didorong dengan sokongan penonton tempatan yang terus berkembang di media sosial.
Melihat kepada sambutan berterusan, filem ini dijangka terus mencatat kutipan positif sepanjang tempoh cuti persekolahan apabila pawagam menjadi pilihan aktiviti percutian keluarga.
Filem ini dijadualkan menembusi pasaran antarabangsa seperti di Indonesia bermula 23 Januari ini, sebelum ditayangkan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd






