Pasaran pemain, jurulatih semakin mengecil

Pasaran pemain, jurulatih semakin mengecil


PENGENDALI Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Rezal Zambery Yahya melihat cabaran besar bakal dihadapi pemain dan jurulatih pada musim depan untuk merebut tempat dalam kancah bola sepak negara.

Menurut Rezal, ketiadaan saingan bagi pasukan bawah 23 tahun pada musim depan menyebabkan pasaran pemain dan jurulatih menjadi semakin kecil dan kompetitif.

“Saingan liga seperti kita tahu tahun depan tiada lagi pasukan bawah 23 tahun (Piala MFL). Daripada segi pasaran pemain dan jurulatih semakin mengecil dan persaingan itu cukup ketat.

“Jurulatih tempatan sentiasa perlu diberikan peluang. Namun, kita faham pasukan memerlukan jurulatih dengan reputasi dan keputusan yang baik.

“Itu antara kriteria yang diambil kira. Namun, bukan hanya saya sahaja, tetapi ramai jurulatih tempatan mengharapkan diberikan ruang dalam saingan liga kita tidak kira dalam Liga Super, Liga Amatur, Piala belia atau Piala Presiden,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perlawanan antara KDN FC menentang Negeri Sembilan yang menyaksikan pasukannya tewas 1-2 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ahad.

Pasukan pantai timur itu akan mengharungi satu lagi aksi terakhir Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan masih belum memikirkan mengenai hala tujunya selepas musim ini berakhir dan mahu menumpukan kepada tugasnya bersama KDN FC terlebih dahulu.

“Saya masih belum buat apa-apa keputusan. Saya akan tengok selepas habis kontrak saya sampai hujung bulan ini. Apa pun saya kena selesaikan amanah yang diberikan di sini dulu sebelum melihat kemana hala tuju saya.

“Namun, ketika ini saya terpilih untuk menjalani lesen profesional, jadi habis tugas saya di sini saya akan fokus kepada mendapatkan lesen itu. Bagaimanapun, saya memang masih sayangkan tugas sebagai jurulatih,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top