Patrick Kluivert ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak Indonesia

Patrick Kluivert ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak Indonesia


Patrick Kluivert diperkenalkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia pada Ahad. Foto Bernama

BEKAS bintang bola sepak Belanda, Patrick Kluivert diperkenalkan kepada peminat Indonesia pada Ahad, selepas tiba di negara itu sehari sebelumnya untuk memulakan peranannya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Indonesia, lapor agensi berita Jerman dpa.

Pelantikan Kluivert diumumkan pada Rabu, selepas Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) membuat keputusan dua hari sebelumnya untuk memecat jurulatih Korea Selatan, Shin Tae Yong.

Bekas penyerang Ajax Amsterdam itu dilantik sebagai ketua jurulatih dari 2025 hingga 2027, dengan kemungkinan lanjutan kontrak.

“Sasaran utama saya dalam dua tahun pertama adalah untuk layak ke Piala Dunia dan mendapatkan empat mata daripada dua perlawanan yang akan datang,” kata Kluivert kepada pemberita pada sidang media.

Indonesia kini berada di pusingan ketiga kelayakan Kumpulan C Piala Dunia 2026 dan akan beraksi di tempat lawan menentang Australia pada 20 Mac dan perlawanan di laman sendiri menentang Bahrain pada 25 Mac di Jakarta.

Kluivert berkata, beliau mempunyai rancangan empat tahun dan menegaskan yang bahagian paling penting dalam rancangan tersebut adalah untuk menunjukkan hasil dan memberikan impak.

“Pasukan saya dan saya sangat komited untuk mencapai matlamat itu,” katanya.

Kluivert akan dibantu oleh dua pembantu jurulatih dari Belanda, Denny Landzaat dan Alex Pastoor.

Kluivert yakin semua pemain dalam pasukan, sama ada pemain tempatan atau naturalisasi, boleh menyesuaikan diri dengan gaya latihannya sekiranya terdapat komunikasi yang baik antara beliau dan pemain.

Skuad tersebut mempunyai sekurang-kurangnya 14 pemain naturalisasi, kebanyakannya berasal dari Belanda yang mempunyai darah Indonesia dan tiga lagi pemain diaspora sedang dalam proses untuk dinaturalisasi. – Bernama-dpa



Source link

OR

Scroll to Top