July 27, 2024

Pelaburan Google akan majukan cita-cita digital NIMP 2030

Pelaburan Google akan majukan cita-cita digital NIMP 2030


KUALA LUMPUR – Pelaburan terbaharu Google berjumlah AS$2 bilion (RM9.4 bilion) untuk pusat data dan wilayah awan pertamanya akan memajukan cita-cita digital yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) Malaysia.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, dari 2010 ketika Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilancar, perkara tersebut telah menjadi visi Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat hab data global berbanding negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

“Negara kita, Malaysia mempunyai banyak kelebihan berbanding negara jiran untuk mencapai matlamat ini. Kita mempunyai keluasan tanah yang cukup berbanding Singapura, tenaga elektrik yang cukup, dijana oleh arang batu dan sumber gas asli dan paling penting, negara kita mempunyai sumber tenaga manusia dengan kepakaran teknikal tempatan.

“Kita juga beruntung kerana negara kita bebas daripada bencana alam seperti gempa bumi dan gunung api berbanding Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shahir, sejak tahun 2000 lagi, kerajaan ketika itu sudah memastikan kursus-kursus di universiti dan institut teknologi akan mendidik rakyat Malaysia dalam bidang pengurusan data pusat, memberi insentif kepada pemaju data pusat dan menubuhkan satu task force untuk memastikan Malaysia mencapai matlamat hab global data pusat tersebut.

“Hasilnya sekarang, negara menikmati pelaburan berbilion ringgit dari sektor IT ini, dengan secara langsung memberi peluang pekerjaan pendapatan tinggi kepada ratusan ribu rakyat daripada gergasi-gergasi dunia seperti Amazon, Google dan Microsoft,” ujarnya.

Shahir Adnan

Tambah beliau, hasilnya sekarang sudah dituai tetapi perlunya ada sistem yang telus dalam memperkasakan syarikat-syarikat IT tempatan untuk bersama-sama menimba ilmu dan pengalaman dengan syarikat gergasi luar.

Peluang itu kata Shahir, harus diberikan kepada semua syarikat tempatan untuk bersaing, tanpa pilih kasih dan tidak mempraktikkan amalan kronisme. – MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top