Singapura: Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun menjadi individu termuda dikenakan Perintah Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Singapura.
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), pelajar yang tidak dinamakan itu bersama bekas penjawat awam, An’nadya An’nahari, 33, adalah dua rakyat Singapura terbaru yang dikenakan RO masing-masing pada Jun dan Julai.
“Kedua-duanya diradikalkan sendiri secara berasingan dalam talian. Radikalisme mereka berpunca daripada konflik berterusan antara Israel dan Hamas,” kata ISD dalam satu kenyataan pada Isnin.
Individu yang dikenakan RO perlu mematuhi beberapa syarat dan sekatan, seperti tidak dibenarkan menukar tempat tinggal atau pekerjaan, atau keluar dari Singapura, tanpa kelulusan Pengarah ISD.
Mereka juga tidak boleh mengakses internet atau media sosial, mengeluarkan kenyataan awam, menghadiri perhimpunan awam atau mencetak, mengedar, menyumbang kepada mana-mana penerbitan, memegang jawatan dalam, atau menjadi ahli mana-mana organisasi, persatuan atau kumpulan, tanpa kelulusan Pengarah ISD.
ISD berkata, pelajar tingkatan tiga itu bercita-cita untuk berjuang bersama Tentera Bendera Hitam (BFA) dan bersedia untuk melancarkan serangan di Singapura atas arahan BFA, jika dia tidak dapat pergi menyertai BFA.
Dia juga mengambil langkah untuk mempersiapkan diri secara fizikal untuk berjuang dengan BFA dan merancang untuk menabung dengan bekerja sambilan bagi membiayai perjalanannya ke Afghanistan, yang dia percaya BFA akan muncul.
Remaja itu bertekad untuk menyertai BFA walaupun pihak berkuasa atau keluarganya cuba menghalangnya, kata ISD.
Dia juga cuba, tetapi gagal, untuk meradikalisasikan beberapa rakan sekolah melalui kumpulan sembang dalam talian.
Sementara itu, An’nadya, bekas pengurus dengan sebuah badan berkanun, menyokong kuat Axis of Resistance (AOR), sebuah rangkaian organisasi militan dan pengganas.
Dia pertama kali menarik perhatian pihak keselamatan pada Mei 2021 kerana siaran dalam talian yang berpotensi mencetuskan ketidakharmonian sosial. Dia kemudian memadamkan siaran itu selepas dinasihati oleh pihak berkuasa.
An’nadya, penjawat awam kedua yang dikenakan perintah ISA di Singapura, sekali lagi menarik perhatian pada April 2024 kerana aktiviti dalam taliannya, termasuk ancaman untuk menyerang dan membunuh warga Israel. An’nadya juga menyeru keganasan terhadap Singapura.
© New Straits Times Press (M) Bhd